Rakyat Indonesia bantah kerajaan, isu jerebu, ekonomi

Penduduk di Kampung Sungai Tabuk, Kabupaten Banjar cuba memadam kebakaran/ AFP

JAKARTA, 28 Oktober – Ratusan rakyat Indonesia berhimpun di tengah Jakarta pada Rabu bagi membantah tekanan ekonomi, rasuah serta pengendalian kerajaan terhadap kebakaran hutan yang mencetuskan jerebu toksik sehingga menjejaskan kesihatan ribuan penduduk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penganjur SADAR tuntut pengisytiharan darurat kebangsaan untuk menambah sumber memadam kebakaran hutan.
  • Pemantau Nusantara Atlas lapor lebih 1.9 juta hektar musnah akibat kebakaran dalam sembilan bulan.
  • NGO kata ribuan keluarga, termasuk puluhan ribu bayi, alami masalah kesihatan akibat jerebu toksik, kerajaan dituduh gagal.

Penunjuk perasaan membawa pelbagai poster yang mengkritik kerajaan, selain menunjukkan isyarat tiga jari yang dikaitkan dengan pemberontakan dalam francais filem The Hunger Games.

Seorang peserta, Sekar, 37 tahun berkata, beliau terpanggil untuk menyokong pelajar yang menganjurkan demonstrasi itu, susulan penderitaan rakyat akibat kebakaran hutan berlarutan, jerebu, kelemahan mata wang dan kenaikan harga barang.

Polis memaklumkan kira-kira 14,000 anggota bersama anggota tentera dikerahkan bagi mengawal demonstrasi berkenaan.

Penganjur yang menamakan kumpulan mereka SADAR, menuntut kerajaan mengisytiharkan darurat kebangsaan bagi menambah sumber untuk memadam kebakaran hutan di seluruh negara.

Pemantau penyahhutanan, Nusantara Atlas, melaporkan kebakaran memusnahkan lebih 1.9 juta hektar kawasan dalam tempoh sembilan bulan hingga September.

Wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Annette Mau berkata, ribuan keluarga, termasuk puluhan ribu bayi, mengalami masalah kesihatan akibat jerebu toksik yang merebak ke rantau ini.

Penganjur turut mendakwa kerajaan gagal menangani krisis ekonomi, kemusnahan alam sekitar dan kemerosotan demokrasi. Demonstrasi turut diadakan di beberapa bandar lain.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.