
KUALA LUMPUR, 30 September – Bank Rakyat memperluas inisiatif BizMatch ke Arab Saudi, Jepun dan China tahun ini bagi membantu usahawan tempatan menembusi pasaran global.
- Inisiatif menghubungkan pelanggan dengan rangkaian rakan niaga antarabangsa, membuka peluang pasaran baharu kepada usahawan tempatan.
- Peluasan rangkaian dan saluran perniagaan selaras dengan aspirasi #UntukSemua; kejayaan tidak diukur hanya berdasarkan pertumbuhan kewangan.
- Komitmen diperbaharui untuk terus berkembang sebagai institusi kewangan Islam yang inklusif, progresif dan dekat dengan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, inisiatif berkenaan akan menghubungkan pelanggan bank dengan rangkaian rakan niaga antarabangsa, sekali gus membuka peluang pasaran baharu kepada usahawan tempatan.
Beliau berkata, peluasan BizMatch itu merupakan antara usaha Bank Rakyat memperluas rangkaian dan saluran perniagaan selaras dengan aspirasi #UntukSemua.
“Kejayaan Bank Rakyat tidak diukur berdasarkan pertumbuhan kewangan semata-mata.
“Aspirasi #UntukSemua bukan sekadar ungkapan, tetapi menjadi panduan dalam membangunkan produk, meneroka inovasi teknologi serta memperluas rangkaian dan saluran perniagaan,” katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun Bank Rakyat ke-72.
Menurut Ahmad Shahril, selepas 72 tahun, peranan Bank Rakyat kekal untuk berkembang bersama rakyat dengan memastikan lebih banyak peluang ekonomi dapat dinikmati masyarakat.
Katanya, impak lebih bermakna dapat diwujudkan apabila lebih ramai usahawan berpeluang mengembangkan perniagaan, selain keluarga dan komuniti mendapat akses kepada pelbagai kemudahan serta peluang pembangunan.
Bersempena sambutan ulang tahun itu, Bank Rakyat turut memperbaharui komitmennya untuk terus berkembang sebagai institusi kewangan Islam yang inklusif, progresif dan dekat dengan seluruh lapisan masyarakat.
Sejak ditubuhkan, institusi kewangan itu telah memberi perkhidmatan kepada lebih sembilan juta pelanggan dengan jumlah aset mencecah RM131 bilion.