Belia cadang subsidi 50 peratus langganan AI premium

Belia cadang subsidi 50 peratus langganan AI premium / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 30 September – Golongan belia mahu kerajaan mempertimbangkan peruntukan subsidi 50 peratus bagi langganan platform kecerdasan buatan (AI) premium di bawah Belanjawan 2027, sebagai antara langkah persediaan menghadapi pasaran kerja masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan pengenalan Kredit Peningkatan Kemahiran Nasional bagi laluan pembelajaran fleksibel dan pengumpulan kredit untuk pensijilan atau kelayakan berkemahiran tinggi.
  • Menggesa kerajaan wujudkan mandat nasional agar pelaburan asing menyokong pemindahan teknologi dan pembangunan bakat tempatan.
  • Cadangan penubuhan Majlis Tindakan Belia Ekonomi Negara untuk memastikan suara belia dan mekanisme maklum balas berterusan.
  • Menekankan kepentingan akses AI untuk peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi menyediakan belia menghadapi pasaran kerja masa depan.

Penolong Pengarah Forum Ekonomi Belia (YEF) 2026, Sarah Rifqah Mohamed Reza berkata, langkah itu membolehkan lebih ramai belia mengakses teknologi AI bagi tujuan peningkatan kemahiran dan latihan semula.

Sejajar dengan cadangan itu, beliau turut mengesyorkan pengenalan Kredit Peningkatan Kemahiran Nasional bagi mewujudkan laluan pembelajaran yang lebih fleksibel untuk golongan belia

“Kami juga mencadangkan pengenalan Kredit Peningkatan Kemahiran Nasional yang membolehkan golongan belia mengumpul kredit melalui pelbagai inisiatif peningkatan kemahiran.

”Kredit tersebut kemudian dikumpulkan dan setelah mencapai jumlah kredit yang ditetapkan, ia boleh ditukarkan kepada pensijilan penuh atau kelayakan berkemahiran tinggi yang diperlukan dalam ekonomi yang semakin dipacu AI,” katanya kepada RTM.

Sementara itu, Penasihat Eksekutif YEF 2026, Syed Mohamed Arif Syed Abdul Rahim berkata kerajaan perlu mewujudkan mandat nasional bagi memastikan kemasukan pelaburan asing ke negara ini memberi manfaat kepada pembangunan bakat tempatan.

”Mandat ini juga boleh menggalakkan lagi usaha kolaborasi antara industri tempatan dan institusi pendidikan tinggi contohnya dalam aspek pemindahan teknologi daripada pelaburan asing yang diperolehi.

”Kerjasama ini penting bagi membuka lebih banyak peluang kepada anak muda tempatan untuk menyertai ekosistem pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan penubuhan Majlis Tindakan Belia Ekonomi Negara bagi memastikan suara dan pandangan golongan muda diambil kira dalam penggubalan dasar berkaitan belia.

Beliau berkata majlis itu juga boleh mewujudkan mekanisme maklum balas berterusan antara kerajaan dan golongan belia supaya pandangan mereka dapat disalurkan dalam pelaksanaan serta penambahbaikan dasar.

Beliau berkata, aspirasi untuk Belanjawan 2027 itu akan turut diketengahkan pada penganjuran YEF 2026 yang akan diadakan 3 Oktober ini.

Acara itu akan memberi tumpuan kepada beberapa teras utama termasuk aspek pendigitalan, teknologi hijau, pembangunan bakat serta sosial.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.