MICSEA mahu kenaikan gaji minimum dilaksana berperingkat

Foto Janaan AI

KUALA LUMPUR, 30 September – Persatuan Majikan Perindustrian, Komersial dan Perkhidmatan Malaysia (MICSEA) menggesa kerajaan menilai secara teliti sebarang cadangan kenaikan kadar gaji minimum dan melaksanakannya secara berperingkat menerusi Belanjawan 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan gaji mesti mengambil kira kemampuan perniagaan dan beri tempoh penyesuaian mencukupi kepada majikan.
  • Kenaikan gaji lebih pantas daripada produktiviti boleh mengehadkan pengambilan pekerja, kurangkan kerja lebih masa dan menaikkan harga.
  • Keputusan perlu melibatkan majikan, kesatuan, PKS, persatuan industri, ahli ekonomi dan wakil perniagaan melalui rundingan tiga pihak.

Presidennya, YK Lai berkata, pihaknya mengakui keperluan meningkatkan gaji susulan peningkatan kos sara hidup, namun kadar kenaikan perlu mengambil kira kemampuan sebenar perniagaan serta tempoh penyesuaian yang mencukupi kepada majikan.

Katanya, ramai majikan masih menyesuaikan diri dengan kadar gaji minimum RM1,700 yang berkuat kuasa sejak 1 Ogos 2025.

“Oleh itu, sebarang semakan lanjut perlu dibuat selepas penilaian yang sewajarnya terhadap kesannya kepada perniagaan.

“Majikan tidak menolak usaha untuk meningkatkan gaji. Kami mahu pekerja memperoleh pendapatan lebih tinggi. Apa yang kami bimbangkan ialah kadar yang mungkin dilihat mampu ditanggung oleh syarikat besar, tetapi amat sukar bagi perniagaan kecil yang beroperasi dengan margin keuntungan yang tipis,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, meskipun produktiviti perniagaan menunjukkan peningkatan, masih terdapat jurang dengan potensi kenaikan gaji minimum.

Menurutnya, kenaikan gaji yang jauh lebih pantas berbanding peningkatan produktiviti boleh menyebabkan perniagaan kecil mengehadkan pengambilan pekerja, mengurangkan kerja lebih masa dan seterusnya mendorong peningkatan harga.

Sehubungan itu, MICSEA berpandangan organisasi majikan, kesatuan sekerja, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), persatuan industri, ahli ekonomi serta wakil perniagaan dari pelbagai wilayah perlu dilibatkan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

Beliau turut menggesa rundingan tiga pihak diadakan melalui Majlis Perundingan Gaji Negara dengan mengambil kira faktor inflasi, kos sara hidup, guna tenaga, kelangsungan perniagaan dan pelaburan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.