
HONG KONG, 21 Oktober – Pihak berkuasa keselamatan makanan Hong Kong memutuskan pada Selasa untuk menggantung import daging dan produk ayam itik dari Perbandaran Pembina di Wilayah Manitoba, Kanada, serta Kaunti Stearns dan Kaunti Benton di negeri Minnesota dan Kaunti Jay di negeri Indiana, Amerika Syarikat (AS), susulan wabak selesema burung di kawasan berkenaan, lapor Xinhua.
- CFS mengarahkan industri menggantung import daging, produk ayam dan itik serta telur dari kawasan terjejas segera.
- Keputusan dibuat selepas notifikasi WOAH mengenai wabak selesema burung H5N1 sangat patogenik.
- Langkah itu bertujuan melindungi kesihatan awam di Hong Kong.
- CFS menghubungi pihak berkuasa Kanada dan AS serta akan memantau maklumat WOAH dan agensi berkaitan dengan teliti.
Pusat Keselamatan Makanan (CFS) di bawah Jabatan Kebersihan Makanan dan Alam Sekitar Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) mengarahkan pihak industri supaya menggantung serta-merta import daging dan produk ayam itik, termasuk telur ayam itik, dari kawasan itu bagi melindungi kesihatan awam di Hong Kong.
Jurucakap CFS berkata keputusan itu dibuat susulan pemberitahuan daripada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) mengenai wabak selesema burung H5N1 yang sangat patogenik di kawasan berkenaan.
CFS menghubungi pihak berkuasa Kanada dan AS serta akan memantau dengan teliti maklumat yang dikeluarkan oleh WOAH dan pihak berkuasa berkaitan mengenai wabak selesema burung berkenaan, kata jurucakap itu.- BERNAMA-XINHUA