
BRUSSELS, 11 November – Beberapa hospital di Belgium mengalami gangguan rangkaian pada Selasa, menyebabkan pembedahan yang dijadualkan terpaksa ditangguhkan dan perkhidmatan perubatan terganggu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.
- Punca gangguan belum dipastikan sama ada kegagalan teknikal atau serangan siber.
- UZ Brussel melaporkan masalah sistem IT dan telefon; pembedahan serta janji temu dibatalkan atau ditangguh.
- Pasukan IT menyiasat gangguan; hospital menegaskan keselamatan pesakit kekal terjamin.
Punca gangguan itu masih belum dapat dipastikan sama ada disebabkan kegagalan teknikal atau serangan siber.
UZ Brussel merupakan hospital pertama yang melaporkan masalah melibatkan sistem teknologi maklumat (IT) dan telefon, menurut penyiar awam VRT.
Susulan kejadian itu, pembedahan dan prosedur perubatan yang dijadualkan ditangguhkan sehingga diberitahu kelak manakala semua janji temu pesakit luar serta rawatan dibatalkan.
Ambulans turut diarahkan ke hospital lain.
Pihak hospital memaklumkan bahawa pasukan IT sedang menyiasat punca gangguan berkenaan, sambil menegaskan keselamatan pesakit yang sedang menerima rawatan di wad kekal terjamin.
Hospital Sint-Andries di Tielt, Flanders Barat, turut melaporkan masalah rangkaian.
AZ Monica di Antwerp mengambil langkah berjaga-jaga dengan menutup sementara sistem rekod pesakit elektroniknya namun janji temu dan pembedahan diteruskan.
Hospital Heilig Hart di Lier pula menjadualkan semula janji temu pesakit, lapor Agensi Berita Belgium, Belga.
Gangguan itu dilaporkan melibatkan sistem rekod pesakit elektronik yang dibangunkan di UZ Brussel dan digunakan oleh beberapa hospital lain. – BERNAMA-ANADOLU