Iran nafi dakwaan Perancis terbabit dalam serangan siber peti sejuk pasar raya

Foto hiasan

TEHRAN, 11 November – Iran menolak dakwaan Perancis yang mengaitkan negara itu dengan serangan siber terhadap sistem peti sejuk pasar raya di beberapa negara Eropah bulan lalu, sambil menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Luar Iran menafikan tuduhan Perancis dan mengecamnya sebagai dakwaan tidak berasas serta dasar lapuk.
  • Serangan siber pada 11-12 Oktober menyasarkan ratusan pasar raya Perancis, menyebabkan stok mudah rosak; kejadian turut dilaporkan di sekurang-kurangnya 11 negara Eropah.
  • Perancis memanggil Duta Iran dan menggesa sekatan; EU janji tindak balas bersatu, sementara Iran memberi amaran akan melindungi kepentingan negaranya.

Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan pada Selasa menegaskan pihaknya menolak sekeras-kerasnya tuduhan kerajaan Perancis berhubung dakwaan aktiviti siber di negara itu.

Iran turut mengecam tindakan yang disifatkannya sebagai dasar lapuk untuk melemparkan tuduhan terhadap Republik Islam itu.

Serangan siber pada 11 dan 12 Oktober lalu menyasarkan ratusan pasar raya di Perancis, menyebabkan suhu peti sejuk dan peti beku meningkat sehingga memaksa premis terbabit melupuskan sejumlah besar stok makanan mudah rosak.

Insiden sama kemudian dilaporkan berlaku di sekurang-kurangnya 11 negara Eropah lain pada awal November.

Susulan kejadian itu, Perancis memanggil Duta Iran selain menggesa pelaksanaan sekatan di peringkat Eropah.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot berkata Paris tidak akan menolak sebarang tindakan, termasuk langkah yang tidak didedahkan kepada umum, bagi menghalang serangan lanjut.

Bagaimanapun, Tehran memberi amaran tidak akan teragak-agak mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi kepentingan dan keselamatan negara daripada aktiviti asing yang menyalahi undang-undang.

Iran turut mendakwa Perancis sekadar mengalihkan perhatian daripada kelemahan tadbir urusnya sendiri menerusi tuduhan berkenaan.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi kemudian menyalahkan kerajaan Perancis berhubung insiden itu menerusi hantaran di platform X.

“Tidak mampu menguruskan peti sejuk, apatah lagi menangani rungutan rakyatnya, kerajaan Perancis kini mengalihkan kesalahan atas kegagalannya kepada pihak lain,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa menyatakan komitmen untuk memberikan tindak balas segera dan bersatu selepas perkara itu dibincangkan bersama negara anggota. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.