
PERAK TENGAH, 11 November – Polis merampas 48 unit mesin perlombongan mata wang kripto (Bitcoin) dalam satu operasi membanteras kegiatan perlombongan haram yang menggunakan sambungan bekalan elektrik secara curi di sebuah premis kediaman di sekitar Seri Iskandar, di sini.
- Operasi dijalankan oleh IPD Perak Tengah dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad.
- PDRM memandang serius; kegiatan curi elektrik menyebabkan kerugian pembekal, risiko kebakaran dan ancaman keselamatan awam.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.
- Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dan menyalurkan maklumat aktiviti perlombongan mencurigakan kepada polis.
Operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Selain mesin perlombongan Bitcoin, pihak polis turut merampas dua unit suis Fast Ethernet, sebuah penghala (router) internet serta segulung kabel elektrik yang dipercayai dipotong bagi tujuan penyambungan bekalan elektrik secara haram.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kegiatan perlombongan mata wang kripto yang melibatkan penyambungan bekalan elektrik secara haram.
Menurutnya, kegiatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menyebabkan kerugian kepada pihak pembekal utiliti serta meningkatkan risiko kebakaran dan mengancam keselamatan orang awam.
“Kegiatan perlombongan mata wang kripto yang melibatkan penyambungan bekalan elektrik secara haram bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh menyebabkan kerugian kepada pihak pembekal utiliti serta meningkatkan risiko kebakaran dan keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan media.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan perlombongan mata wang kripto yang disyaki membabitkan kecurian bekalan elektrik kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.