Rakyat Indonesia muak krisis jerebu, kebakaran hutan tiada penyelesaian

Penunjuk perasaan pelajar menyerahkan patung berkafan melambangkan mangsa jerebu kepada pegawai kerajaan di Palangkaraya, Indonesia/Foto AFP

JAKARTA, 21 Oktober – Ribuan penduduk Indonesia terjejas akibat jerebu toksik susulan kebakaran hutan yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Protes besar di bandar-bandar menuntut tindakan segera kerajaan terhadap krisis jerebu dan kebakaran hutan.
  • Rakyat mengkritik kelemahan pengurusan kerajaan dalam menangani kebakaran yang memusnahkan kawasan luas.
  • Masalah kesihatan meluas serta kerugian ekonomi kepada peniaga kecil menambah kemarahan orang ramai.
  • Skala kebakaran besar, puluhan ribu anggota bomba dan pesawat dikerah namun keadaan masih belum terkawal.

Keadaan itu mencetuskan bantahan di beberapa bandar, termasuk Jakarta, Bandung, Yogyakarta, Pekanbaru dan Makassar, dengan penunjuk perasaan mendesak kerajaan mengambil tindakan segera.

Mereka turut mengkritik kelemahan pengurusan kerajaan dalam menangani kebakaran yang memusnahkan kawasan luas di Borneo dan Sumatera sejak Julai lalu.

Di Palangkaraya, Borneo, penduduk mengadu mengalami masalah kesihatan, manakala peniaga kecil berdepan kemerosotan pendapatan akibat jerebu.

Aktivis Greenpeace Indonesia memanjat patung Selamat Datang di Bundaran Hotel Indonesia, Jakarta sebagai tanda protes krisis jerebu semakin buruk/Foto AFP

Seorang penduduk, Sifra, berkata suami dan dua anaknya mengalami batuk sejak sebulan lalu akibat pencemaran udara.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia mengerahkan lebih 60,000 anggota bomba, termasuk sukarelawan, bagi memadamkan kebakaran di seluruh negara.

Sebanyak 49 pesawat turut disediakan untuk operasi pengeboman air dan pembenihan awan bagi membantu menghasilkan hujan.

Penunjuk perasaan bertempur dengan polis pada demonstrasi krisis jerebu melanda negara itu/Foto AFP

Menurut pemantau kebakaran hutan Nusantara Atlas, lebih 1.9 juta hektar tanah terbakar di Indonesia dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Jerebu akibat kebakaran itu turut menjejaskan kualiti udara hingga ke Kuala Lumpur dan Singapura.

Keadaan tahun ini dilaporkan lebih buruk, sebahagiannya dikaitkan dengan fenomena cuaca El Niño yang lebih kuat. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.