Belia perlu kuasai kemahiran STEM dan digital

Foto AI

ANGKASAPURI KOTA MEDIA, 20 Oktober – Eksport Malaysia yang melepasi RM200 bilion buat kali pertama pada September membuka potensi peluang kerjaya dalam sektor berteknologi tinggi, sekali gus menonjolkan kepentingan menyediakan tenaga kerja tempatan yang memiliki kemahiran bersesuaian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan eksport membuka peluang kerjaya dalam sektor berteknologi tinggi, memerlukan tenaga kerja tempatan berkemahiran.
  • Belia perlu menguasai STEM dan kemahiran digital untuk memenuhi tuntutan industri yang semakin berkembang.
  • Masalah utama ialah ramai anak muda tidak terlibat dalam STEM, berisiko memberi ruang pekerjaan kepada warga asing.
  • Cabaran kepada belia: tingkatkan kemahiran dalam teknologi, AI, pengekodan dan pengkomputeran awan segera.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata penguasaan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta kemahiran digital penting bagi membolehkan golongan belia memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.

Beliau berkata perkembangan industri berteknologi tinggi perlu disusuli usaha meningkatkan penyertaan belia dalam bidang berkaitan bagi memastikan tenaga kerja tempatan dapat memenuhi keperluan industri.

“Masalah sekarang ialah kebanyakan anak muda kita tidak terlibat dalam STEM. Ini antara isu utama yang perlu kita tangani dengan segera supaya peluang pekerjaan berkaitan teknologi tidak diisi oleh warga asing.

“Jadi, perkara utama yang saya cabar anak muda kita ialah melibatkan diri dalam STEM dan meningkatkan kemahiran, khususnya dalam bidang teknologi, kecerdasan buatan (AI), pengekodan, pengkomputeran awan dan sebagainya,” katanya kepada RTM.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), eksport negara meningkat 54.5 peratus tahun ke tahun kepada RM215.11 bilion pada September 2026, didorong antaranya oleh pertumbuhan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E).

Jumlah perdagangan negara turut meningkat 53.7 peratus kepada RM396.5 bilion, manakala lebihan dagangan mencecah RM33.72 bilion pada bulan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.