
JOHOR BAHRU, 1 Oktober – Seorang lelaki berusia 30-an yang mempunyai 27 rekod jenayah lampau ditahan selepas dipercayai melarikan sebuah lori dan cuba mengelak daripada polis, di sini, semalam.
- Polis terima maklumat sekitar 7.20 pagi mengenai kenderaan dikesan di kawasan perindustrian Tanjung Langsat
- Suspek enggan berhenti, memandu secara berbahaya dan melanggar kereta peronda sebelum ditahan di Pasir Gudang kira-kira 10.20 pagi
- Pemeriksaan menemui paket lutsinar disyaki mengandungi dadah; saringan awal positif syabu; kes disiasat dan reman akan dimohon
Ketua Polis Daerah Seri Alam, ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira pukul 7.20 pagi bahawa lori yang dilaporkan hilang itu dikesan di kawasan perindustrian Tanjung Langsat.
Polis kemudian bergerak ke lokasi dan mengesan lori berkenaan, namun suspek enggan berhenti, sebaliknya terus memandu secara berbahaya sehingga melanggar sebuah kereta peronda polis.
Suspek kemudian cuba melarikan diri sebelum berjaya diberkas kira-kira pukul 10.20 pagi di kawasan Pasir Gudang.
Pemeriksaan lanjut menemukan satu paket lutsinar yang disyaki mengandungi dadah, manakala saringan awal mendapati suspek positif syabu.
Suspek mempunyai 27 rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru hari ini bagi membantu siasatan lanjut.