AGC tolak representasi gugur 331 pertuduhan pengubahan wang haram GISBH

Foto RTM

SHAH ALAM, 5 Oktober – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi bekas Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan tiga bekas akauntan syarikat itu untuk menggugurkan 331 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM38.1 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan 26-28 April, 28-30 Jun dan 6-8 Julai 2027; status representasi disebut 26 Januari 2027.
  • Jumlah pertuduhan: Nasiruddin 77 (RM10.08 juta); Hamimah 95 (RM11.42 juta); Mohd Khushairi 91 (RM11.95 juta); Asmat 68 (RM4.68 juta).
  • Mahkamah benarkan kembalikan pasport Nasiruddin untuk ke Makkah bagi keizinan pembedahan isteri; mesti dikembalikan pada atau sebelum 10 November 2026.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan keputusan itu pada prosiding pengurusan kes di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Susulan keputusan berkenaan, pihak pendakwaan memohon supaya kes terhadap keempat-empat tertuduh diteruskan dengan perbicaraan.

Nasiruddin, 67, berdepan 77 pertuduhan membabitkan lebih RM10.08 juta, manakala bekas akauntan GISBH, Hamimah Yakub, 74, menghadapi 95 pertuduhan berjumlah lebih RM11.42 juta.

Dua lagi bekas akauntan, Mohd Khushairi Osman, 55, menghadapi 91 pertuduhan berjumlah lebih RM11.95 juta, manakala Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 46, berdepan 68 pertuduhan membabitkan lebih RM4.68 juta.

Peguam yang mewakili kesemua tertuduh, Datuk Rosli Kamaruddin, bagaimanapun memaklumkan pihak pembelaan akan mengemukakan representasi baharu kepada AGC bulan depan bagi memohon tawaran kompaun.

Katanya, representasi itu akan dikemukakan selepas harta yang disita diserahkan semula kepada anak guamnya.

Mahkamah menetapkan perbicaraan pada 26 hingga 28 April, 28 hingga 30 Jun dan 6 hingga 8 Julai 2027, manakala status representasi kedua kesemua tertuduh akan disebut pada 26 Januari 2027.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dalam prosiding sama, Rosli turut memohon kebenaran mahkamah untuk mendapatkan semula pasport Nasiruddin bagi membolehkannya ke Makkah untuk menemui isterinya, Ummu Mubaroqah Ashaari, 32, yang dijadual menjalani pembedahan kelahiran secara caesarean bulan ini.

Rosli berkata pihak Hospital Muhammad Saleh Basharahil di Makkah menasihatkan Nasiruddin hadir bagi memberikan keizinan untuk pembedahan isterinya yang kini telah cukup bulan kandungan, namun tarikh pembedahan masih belum ditetapkan.

Mohd Ashrof memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu tertakluk kepada syarat dalam notis permohonan, termasuk pasport dikembalikan kepada mahkamah pada atau sebelum 10 November 2026.

Hakim kemudian membenarkan permohonan berkenaan mengikut syarat yang ditetapkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.