
KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa siasatan kes kematian seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor pada 3 Oktober lalu dilaksanakan secara telus dan profesional tanpa sebarang usaha untuk melindungi mana-mana pihak.
- Seorang remaja lelaki ditahan dan direman bagi membantu siasatan kes.
- Bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah trauma tumpul pada kepala.
- Pihak sekolah dan KPM memberi kerjasama, orang ramai diminta beri ruang dan elak spekulasi atau manipulasi fakta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata kes berkenaan disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan pada 3 Oktober sebelum direman selama enam hari bermula 4 hingga 9 Oktober bagi membantu siasatan.
Bedah siasat ke atas mangsa dilakukan Pakar Patologi Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat pada 4 Oktober.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah ‘blunt trauma to the head’ “, katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Datuk M. Kumar, pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM bagi melancarkan siasatan kes tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pihak sebaliknya setiap tindakan akan dibuat berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh sepanjang siasatan.
Katanya, siasatan masih berjalan dan orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas tanpa membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh menjejaskan siasatan.
Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak memutarbelitkan atau memanipulasi fakta berkaitan kes berkenaan sehingga boleh mencetuskan kegusaran awam.