
KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan 3,567 kompaun di sehingga September lalu, susulan tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan pembakaran terbuka di seluruh negara.
- Tindakan tegas diperkasa menentang pembakaran terbuka, terutama yang boleh mencetus kebakaran tanah gambut dan memburukkan jerebu.
- Hukuman maksimum denda RM10 juta dan penjara sehingga lima tahun dikenakan kepada pesalah.
- Orang awam dinasihat rujuk APIMS untuk data kualiti udara sebenar dan laporkan pembakaran terbuka segera.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Jabatan Alam Sekitar, Azuri Azizah Saedon berkata tindakan tegas terus diperkasa bagi menangani pembakaran terbuka, khususnya yang berpotensi mencetuskan kebakaran tanah gambut dan memburukkan keadaan jerebu.
“Sehingga September 2026, JAS telah mengeluarkan sebanyak 3,567 kompaun di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya ketika ditemui media semasa sesi libat urus “Menangani Jerebu: Penguatkuasaan dan Peranan Media” di sini, hari ini.
Sehubungan dengan itu, pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM10 juta dan penjara sehingga lima tahun.
Tambah beliau, sebanyak 1,524 hektar kawasan tanah gambut dilaporkan terbakar di seluruh negara menurut pemerhatian JAS, dan sebahagian besar kesalahan pembakaran terbuka dikesan di premis industri dan kawasan ladang.
Pemantauan berkenaan melibatkan 5,647 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT), 357 penerbangan dron dan penyeliaan 570 infrastruktur tanah.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang awam agar sentiasa merujuk kepada sumber rasmi kerajaan untuk mendapatkan maklumat sahih mengenai tahap kualiti udara.
“Janganlah kita merujuk kepada laman sesawang yang bukan diiktiraf oleh kerajaan. Kita perlu merujuk kepada Jabatan Alam Sekitar di bawah Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) bagi mendapatkan indeks pencemaran udara yang sebenar,” jelasnya.
Sehingga September lalu, JAS menerima 11,301 aduan berkaitan pencemaran udara, dengan 84.3 peratus daripadanya melibatkan kes pembakaran terbuka.
Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat awal mengenai aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan dilaksanakan dengan segera.