Nahas Gerik: Dua beranak selamat dikebumikan

Ahli keluarga menyiram air diatas pusara mangsa nahas jalan raya di Gerik/Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 6 Oktober — Jenazah dua beranak yang maut dalam nahas jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 38.5, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, pada Ahad selamat dikebumikan malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekas suami berkata bekas isteri menghantar gambar anak kira-kira pukul 10 pagi, kemudian mesej tidak berbalas sebelum makluman hospital.
  • Dia tidak berjumpa anaknya selama setahun dan sedih mengenang panggilan video ketika anak menyebut "papa".
  • Mangsa maut ialah Tuan Shazrin, Safiyya Haura, Al Zubair Deraman dan Mohamad Hafiz Daniel Nik Hairey.
  • Seorang lagi kanak-kanak, Mohamad Shiraz Hammani, 9, kritikal dan akan menjalani pembedahan buang darah beku di kepala.

Jenazah Tuan Shazrin Tuan Mud, 40, dan anaknya, Safiyya Haura, tiga tahun, dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Dusun, Sering, Kota Bharu, kira-kira 9.30 malam.

Terdahulu, jenazah dua beranak itu tiba di Masjid Umari, Mukim Telaga Bata, Sering, kira-kira pukul 8 malam untuk disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Bekas suami Tuan Shazrin, Mohamad Sanuzi Mohd Nawi, berkata bekas isterinya sempat menghantar gambar Safiyya Haura kira-kira pukul 10 pagi sebelum kejadian dan memaklumkan mereka sudah bertolak pulang dari Perak ke Kelantan.

Katanya, dia kemudian cuba bertanya khabar dan lokasi mereka, namun mesej WhatsApp yang dihantar tidak berbalas sebelum dimaklumkan pihak hospital mengenai kemalangan berkenaan.

“Dia duduk atas kereta, dia ambil gambar anak seorang. Lepas itu tiba-tiba senyap. Kita mula tertanya-tanya kenapa lama WhatsApp tidak jawab.

“Kemudian saya dimaklumkan anak saya kritikal dan malam ini mungkin sedang menjalani pembedahan untuk buang darah beku di kepala. Saya reda,” katanya kepada RTM.

Mohamad Sanuzi berkata, sudah setahun dia tidak berjumpa dengan anak tunggalnya itu kerana mereka menetap di Perak dan amat menantikan kepulangan mereka semalam.

Katanya, dia tidak mampu berfikir apa-apa selepas menerima berita kemalangan itu, malah masih terngiang-ngiang suara Safiyya yang baru pandai menyebut “papa” ketika mereka membuat panggilan video.

Beliau bagaimanapun reda dengan kejadian itu dan berdoa agar semua mangsa ditempatkan dalam kalangan orang yang baik serta mendapat rahmat Allah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari Ahad, tiga kenderaan iaitu dua kereta dan sebuah lori terbabit dalam nahas jalan raya di Kilometer 38.5, JRTB Gerik-Jeli.

Empat mangsa yang maut ialah Tuan Shazrin, Safiyya Haura, Al Zubair Deraman, 31, dan Mohamad Hafiz Daniel Nik Hairey, 19.

Turut berada dalam kenderaan itu ialah anak sulung Tuan Shazrin, Mohamad Shiraz Hammani Abdul Fattah, 9, yang juga anak tiri Mohamad Sanuzi.

Kanak-kanak lelaki itu dilaporkan masih kritikal dan akan menjalani pembedahan bagi membuang darah beku di kepala.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.