Kaunseling bantu 13.1% pasangan berdamai

Foto FB Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Sebanyak 13.1 peratus pasangan yang berdepan konflik rumah tangga berjaya didamaikan menerusi perkhidmatan kaunseling dan intervensi awal yang disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kaunseling dan intervensi awal membantu memperbaiki hubungan apabila pasangan diberi ruang didengar dan dibimbing.
  • Perkukuh hubungan kekeluargaan susulan peningkatan kes perceraian dan keganasan rumah tangga.
  • Mendapatkan bantuan profesional menunjukkan keberanian, kematangan dan tanggungjawab menjaga kesejahteraan diri serta keluarga.
  • Gunakan perkhidmatan kaunseling, psikopendidikan dan pembangunan keluarga LPPKN lebih awal sebelum konflik menjadi serius.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, daripada 236 kes yang dikendalikan sejak Oktober 2024 hingga Ogos 2026, sebanyak 31 pasangan atau 13.1 peratus berjaya didamaikan, manakala 24 peratus memilih untuk meneruskan sesi kaunseling bersama LPPKN.

“Angka ini menunjukkan bahawa apabila pasangan diberikan ruang untuk didengar, dibimbing dan membuat pertimbangan secara rasional, masih ada ruang untuk memperbaiki hubungan.

“Sekiranya perkahwinan tidak dapat diteruskan sekalipun, proses tersebut boleh diurus dengan lebih matang, berhemah dan bermaruah.

“Oleh itu, saya menyeru masyarakat supaya memanfaatkan program pembangunan keluarga serta perkhidmatan kaunseling keluarga yang disediakan oleh LPPKN di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Kebahagiaan Rumah Tangga “Tenangkan Emosi, Eratkan KASIH” bersempena Bulan Kaunseling Kebangsaan 2026, di sini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Nancy menekankan keperluan memperkukuh hubungan kekeluargaan yang dianggap semakin penting susulan peningkatan kes perceraian dan keganasan rumah tangga.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 60,457 kes perceraian direkodkan pada 2024, meningkat 4.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula meningkat daripada 5,507 kes pada 2023 kepada 7,391 kes pada 2025.

Tekanan kerja, masalah kewangan, keletihan, rasa tidak dihargai serta emosi yang dipendam boleh menjadi antara pencetus konflik sekiranya tidak diurus dengan baik.

Beliau turut menegaskan, langkah mendapatkan bantuan profesional bukan tanda lemah, sebaliknya mencerminkan keberanian, kematangan dan tanggungjawab dalam menjaga kesejahteraan diri serta keluarga.

Sehubungan itu, masyarakat digalakkan untuk mendapatkan bantuan lebih awal menerusi perkhidmatan kaunseling, psikopendidikan dan pembangunan keluarga yang disediakan LPPKN sebelum konflik menjadi lebih serius.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.