
TEHRAN, 18 November- Iran menolak laporan media bahawa negara itu merancang menyasarkan pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) menggunakan ‘bom kotor’, sambil menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai propaganda, ketika Presiden Donald Trump memberi amaran Washington memandang serius sebarang kemungkinan ancaman.
- Menteri Luar Abbas Araghchi menafikan dakwaan pembinaan pangkalan peluru berpandu di bawah empangan, menyifatkannya tidak berasas.
- Dalam hantaran di X, beliau menyifatkan laporan itu sebagai propaganda ala Perang Iraq dengan pengaruh Israel.
- Laporan CNN memetik tujuh pegawai AS tanpa nama mendakwa Iran merangka pilihan 'bom kotor' untuk mensasarkan pegawai kanan.
- Jurucakap Kementerian Luar Esmaeil Baqaei menolak laporan, mendakwa Washington cuba mencipta alasan media untuk tindakan agresif.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata laporan berkenaan termasuk dakwaan pembinaan pangkalan peluru berpandu di bawah empangan adalah tidak berasas.
Dalam hantaran di platform X, beliau menyifatkan laporan itu sebagai propaganda berunsur perang Iraq yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.
“Laporan media pro-Israel mendakwa Iran merancang menggunakan senjata kimia di Washington DC, selain membina pangkalan peluru berpandu di bawah empangan.
“Jangan sajikan kami propaganda ala Perang Iraq, lebih-lebih lagi apabila terdapat pengaruh Israel di sebaliknya. Tiada siapa yang mempercayainya,” katanya.
Laporan CNN yang memetik tujuh pegawai AS tanpa nama mendakwa risikan negara itu menunjukkan Iran sedang merangka pilihan untuk menyasarkan pegawai kanan pentadbiran Trump menerusi letupan ‘bom kotor’ di Washington.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei turut menolak laporan itu sebagai rekaan, sambil mendakwa Washington cuba menyediakan alasan menerusi media bagi melaksanakan tindakan agresif terhadap negaranya.
‘Bom kotor’ merujuk kepada bahan letupan konvensional yang dicampur dengan bahan kimia atau radioaktif. -AFP