Polis tembak mati suspek kes samun di Chow Kit

Foto Polis KL

KUALA LUMPUR, 18 November – Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan samun menggunakan teksi maut selepas berbalas tembakan dengan polis dalam serbuan di sebuah bilik di Chow Kit, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis; polis membalas bagi mempertahankan diri dan menghentikan ancaman keselamatan.
  • Suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian; polis merampas sepucuk senjata api dan dadah jenis syabu.
  • Kes itu membantu menyelesaikan 24 kes samun di ibu negara; siasatan terus dijalankan bagi mengesan suspek lain.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan kira-kira pukul 2 pagi itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Kuala Lumpur bersama Bukit Aman.

“Ketika serbuan, suspek yang merupakan lelaki tempatan bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.

“Polis kemudian membalas tembakan bagi mempertahankan diri dan menghentikan ancaman keselamatan.

“Suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan. Polis merampas sepucuk senjata api berserta dadah jenis syabu di dalam bilik tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Datuk Fadil berkata suspek menggunakan modus operandi dengan menyasarkan penumpang wanita dan warga emas yang menaiki teksi sebelum menyamun mangsa.

“Kejayaan menumpaskan suspek ini sekali gus menyelesaikan sebanyak 24 kes samun di ibu negara.

“Bagaimanapun, siasatan menyeluruh masih giat dijalankan bagi mengesan suspek lain.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” ujarnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.