Belanjawan 2027 diharap perkukuh kesiapsiagaan ATM

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Perasmian Siber Siaga 2026 di MITEC/ Foto FB Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Belanjawan 2027 diharap memberi perhatian sewajarnya kepada keperluan pertahanan negara, termasuk penyediaan peruntukan bagi memperkukuh kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru Perdana Menteri mempertimbangkan keperluan mempertahankan kedaulatan dan cabaran geopolitik negara
  • Beliau yakin Perdana Menteri akan memastikan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia sentiasa pada tahap diharapkan
  • Belanjawan 2027 dijadual dibentang 9 Oktober dan kerajaan akan terus berikhtiar meningkatkan peruntukan bagi sektor pertahanan

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan itu penting bagi memastikan keupayaan pasukan pertahanan dalam mempertahankan kedaulatan serta menjamin keselamatan negara.

“Saya percaya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya berdasarkan keperluan negara, termasuk keperluan untuk mempertahankan negara, melindungi kedaulatan serta mengambil kira cabaran dan kedudukan geopolitik yang kita hadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Siber Siaga 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Datuk Seri Mohamed Khaled turut yakin Perdana Menteri akan memberi pertimbangan sebaik mungkin bagi memastikan kesiapsiagaan ATM sentiasa berada pada tahap yang diharapkan.

Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 9 Oktober ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar dilaporkan berkata kerajaan akan terus berikhtiar meningkatkan peruntukan bagi sektor pertahanan menerusi Belanjawan 2027.

Peningkatan peruntukan itu penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan ATM, di samping memastikan aspek pertahanan negara terus diberi keutamaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.