
ALOR SETAR, 1 Oktober – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyita 164 kenderaan dan mengeluarkan 4,447 saman terhadap pemandu warga asing sepanjang Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dilaksanakan sejak 17 Jun sehingga semalam.
- Saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang.
- Kenderaan disita melibatkan 128 motosikal, 28 kereta dan lapan kenderaan lain.
- JPJ Kedah laksanakan Op Khas Gempur PEWA bermula 28 September untuk tingkatkan penguatkuasaan.
- Kesalahan utama: tiada lesen sah, cukai jalan LKM tamat, dan tiada perlindungan insurans; pemilik tidak boleh ambil mudah.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam menerusi kenyataan berkata, saman terbabit dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Jumlah kenderaan yang disita membabitkan 128 motosikal, 28 kereta dan lapan kenderaan lain.
Beliau berkata, bagi memperhebatkan lagi tindakan penguatkuasaan, Bahagian Penguatkuasa JPJ Kedah turut melaksanakan Op Khas Gempur Pemandu Warga Asing (PEWA) bermula pada 28 September lalu.
Katanya, dalam tempoh dua hari sehingga semalam, 115 kenderaan diperiksa, dengan 28 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Selain itu, 16 kenderaan turut disita membabitkan pemandu warga Myanmar.
“Antara kesalahan utama yang dikesan sepanjang pelaksanaan operasi berkenaan adalah memandu tanpa lesen memandu yang sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan yang tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans yang sah.
Selain tindakan terhadap pemandu warga asing, katanya JPJ Kedah turut memberi perhatian kepada pemilik kenderaan warganegara tempatan yang membenarkan warga asing memandu kenderaan milik mereka tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Antara kesalahan yang turut dikesan ialah membenarkan seseorang memandu tanpa lesen memandu yang sah, membenarkan kenderaan digunakan dengan cukai jalan LKM yang sudah tamat tempoh serta membenarkan kenderaan digunakan tanpa perlindungan insurans yang sah atau tamat tempoh.
“JPJ Kedah ingin menegaskan bahawa pemilik kenderaan tidak boleh mengambil mudah atau menyerahkan kenderaan mereka kepada mana-mana individu untuk dipandu tanpa memastikan segala keperluan undang-undang dipatuhi”, katanya.