
KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Perkembangan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang media dan pendidikan perlu dimanfaatkan secara berhemah bagi mengelakkan penyalahgunaan teknologi itu membawa kesan buruk kepada masyarakat.
- Sokongan kepada warga pendidik termasuk kebajikan, pembangunan profesional dan penyediaan kemudahan serta persekitaran pendidikan yang lebih kondusif.
- Kempen 'I Am A Teacher' menghasilkan filem, kandungan digital, siri animasi dan karya seni untuk menghargai guru.
- Kempen menyasarkan golongan muda agar melihat profesion perguruan sebagai kerjaya yang bermakna.
- MoU aplikasi I'm a Teacher dimeterai antara Dasein, NUTP dan Agentis Solution, menawarkan ganjaran kepada pendidik dan pelancaran Disember.
Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi, Abdullah Izhar Mohamed Yusof berkata, kemajuan teknologi perlu disertai kesedaran dalam kalangan masyarakat, khususnya warga pendidik yang berdepan perubahan dalam landskap pendidikan.
“Kita sedia maklum bahawa hari ini kita terdedah kepada perkembangan inovasi berkaitan media dan pendidikan, khususnya AI. Namun, aplikasi AI tidak seharusnya disalahgunakan sehingga membawa keburukan kepada masyarakat.
“Pada masa sama, kita perlu memberi sokongan kepada warga pendidik, termasuk dari aspek penjagaan kebajikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada kemuncak kempen ‘I Am A Teacher’ di Dasein Academy of Art di ibu negara hari ini.
Dalam pada itu sokongan terhadap warga pendidik perlu merangkumi pembangunan profesional, penyediaan kemudahan pendidikan yang lebih baik serta persekitaran yang lebih kondusif.
Kempen ‘I Am A Teacher’ anjuran Dasein Academy of Art mencapai kemuncak hari ini bersempena Hari Guru Sedunia yang diraikan pada 5 Oktober setiap tahun, dengan memberi penekanan terhadap penghargaan dan peranan guru dalam masyarakat.
Kempen yang dimulakan pada 28 Mei lalu, sebelum diteruskan dengan penghasilan filem kempen, kandungan digital, siri animasi dan karya seni bertemakan guru.
Usaha berkenaan turut menyasarkan golongan muda, khususnya dalam menggalakkan mereka melihat bidang pendidikan sebagai pilihan kerjaya yang bermakna.
Sementara itu, Naib Presiden Dasein Academy of Art, Chung Wei Fung berkata penghargaan terhadap guru diperluas termasuk mendorong lebih ramai golongan muda mempertimbangkan profesion keguruan sebagai kerjaya yang bermakna.
“Sepanjang kempen ini, kami berharap untuk mencipta penghargaan yang lebih besar kepada guru-guru dan pada masa yang sama, menginspirasikan lebih ramai orang muda untuk mempertimbangkan pendidikan sebagai kerjaya yang bermakna,” katanya.
Guru berkualiti bukan sahaja berperanan membentuk pelajar, malah turut menyumbang kepada pembangunan bakat yang diperlukan pelbagai sektor industri dan masyarakat.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata kesedaran masyarakat terhadap peranan guru perlu dipertingkat bagi memastikan penghormatan terhadap profesion keguruan terus dipelihara.
“Satu cabaran kita ialah penghormatan daripada masyarakat kepada warga guru itu sudah sangat kurang. Sebab itu kita mahu memberikan kesedaran kepada masyarakat terhadap guru,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, memorandum persefahaman (MoU) bagi aplikasi I’m a Teacher turut dimeterai antara Dasein Academy of Art, NUTP dan Agentis Solution.
Aplikasi tersebut menawarkan penghargaan dan ganjaran kepada pendidik itu dijadual dilancarkan secara rasmi pada Disember depan, sebagai antara usaha meneruskan penghargaan terhadap warga pendidikan.
Kemuncak kempen turut menampilkan pameran karya inspirasi guru dan tayangan animasi, selain menghimpunkan pendidik, media serta rakan kerjasama termasuk NUTP dan Malaysia Retailers Association (MRA).