
SEPANG, 5 Oktober – Pingat perak gandingan Aidan Yunus dan Christian Didier Chin pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 membuktikan potensi besar padel Malaysia di pentas antarabangsa.
- Menewaskan Kazakhstan, Filipina dan Iran untuk mara ke final, menunjukkan prestasi mantap di pentas antarabangsa.
- Hampir tersingkir ketika separuh akhir menentang Iran tetapi berjaya bangkit ke perlawanan akhir.
- Bergandingan hanya tiga hingga empat bulan namun memperlihatkan sinergi dan keserasian yang baik.
- Kejayaan membuka peluang pembangunan padel: perbincangan dengan MSN, program akar umbi, sasaran pingat emas Sukan SEA 2027.
Dalam penampilan sulung padel di Sukan Asia, pasangan negara itu menewaskan Kazakhstan, Filipina dan Iran sebelum mara ke final.
Aidan dan Christian mengakui pencapaian tersebut di luar jangkaan, terutama selepas hampir tersingkir ketika aksi separuh akhir menentang Iran.
“Kami sangat gembira selepas memenangi pingat dan membawanya pulang untuk Malaysia. Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan ini, tetapi impian akhirnya menjadi kenyataan.
“Kami tidak menyangka mampu pergi sejauh ini,” kata mereka ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Padel Malaysia, Tengku Datuk Seri Abu Bakar Ahmad Tengku Tan Sri Abdullah berkata, kejayaan itu lebih membanggakan kerana kedua-dua pemain hanya bergandingan kira-kira tiga hingga empat bulan sebelum kejohanan.
“Kita pun tidak sangka dapat masuk final. Semua negara yang kita lawan kuat, tetapi mereka membuat persediaan dengan baik dan bermain sangat baik bersama.
“Walaupun baru tiga hingga empat bulan bermain sebagai pasangan, mereka mempunyai sinergi dan keserasian yang baik,” katanya.
Beliau berkata pencapaian itu membuka ruang lebih luas untuk pembangunan padel negara, termasuk perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) serta meneruskan program pembangunan di peringkat akar umbi.
Aidan dan Christian kini menyasarkan pingat emas pada Sukan SEA 2027, selain merancang menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa bagi meningkatkan ranking dunia dan mengukuhkan keserasian sebagai pasangan.