Indonesia juarai edisi sulung Piala ASEAN FIFA, tewaskan Thailand menerusi sepakan penalti

Skuad Garuda meraikan kemenangan selepas menewaskan Thailand 4-2 dalam Piala ASEAN FIFA 2026/Foto ASEAN Football

JAKARTA, 5 Oktober – Indonesia merangkul gelaran sulung Piala ASEAN FIFA 2026 selepas menewaskan Thailand 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti, setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) di sini, malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suasana menjadi lautan merah dan perlawanan disaksikan Presiden Prabowo Subianto serta Presiden FIFA Gianni Infantino.
  • Babak pertama berakhir 0-0 walaupun kedua pasukan saling berbalas serangan.
  • Nicholas Mickelson dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-81, menyukarkan pasukan pelawat.
  • Rentetan dramatik: sepakan bebas Dean James terbias, Iklas tebus dengan gol minit 87, Peeradol dan Elkan jaring gol tambahan.

Stadium itu bertukar menjadi lautan merah dengan pasukan tuan rumah kendalian John Herdman menewaskan skuad Thailand bimbingan Anthony Hudson dalam perlawanan dramatik yang turut disaksikan Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Presiden FIFA Gianni Infantino.

Kedua-dua pasukan memasuki waktu rehat terikat 0-0 walaupun saling berbalas serangan dalam aksi babak pertama.

Setelah perlawanan bersambung, Indonesia meningkatkan serangan dan memperoleh peluang keemasan pada minit ke-69, namun Mitchell Baker yang tidak dikawal gagal memanfaatkan peluang selepas rembatannya tersasar ke sebelah kiri tiang gol.

Tugas pasukan pelawat semakin sukar apabila Nicholas Mickelson dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-81 susulan kekasaran terhadap Ole Romeny.

Indonesia memanfaatkan peluang tiga minit kemudian apabila sepakan bebas Dean James terbias mengenai Iklas Sanron lalu menerjah gawang Thailand, dengan penjaga gol Saranon Anuin hanya dapat memerhati.

Bagaimanapun, Iklas menebus kesilapan gol sendiri itu pada minit ke-87 dengan menyempurnakan hantaran Seksan Ratree, sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Peluang Thailand meraih kemenangan kian cerah apabila pemain gantian Peeradol Chamrasamee menjaringkan gol hasil serangan balas pada minit ke-111, menewaskan penjaga gol Indonesia Emil Audero menerusi satu rembatan padu.

Namun, skuad Garuda enggan mengalah dan berjaya menyamakan kedudukan empat minit sebelum masa tambahan berakhir apabila Elkan Baggott tenang menyudahkan hantaran silang Rizky Ridho.

Dalam penentuan sepakan penalti, percubaan ketiga Thailand oleh Sarach Yooyen terkena tiang gol, manakala sepakan keempat Nattapong Sayriya diselamatkan oleh Audero, membolehkan Indonesia mengesahkan kemenangan 4-2.

Terdahulu, Malaysia meraih tempat ketiga selepas menewaskan Vietnam 1-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada sebelah petang. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.