
SOFIA, 1 November -Rakyat Bulgaria mengundi dalam pusingan kedua pilihan raya presiden yang menyaksikan persaingan sengit antara dua calon dengan pendirian berbeza berhubung perang di Ukraine, susulan beberapa serangan dron terhadap kapal komersial di Laut Hitam.
- Kebimbangan keselamatan di kawasan Laut Hitam semakin meningkat.
- Presiden Iliana Iotova menyokong dialog dengan Moscow dan menentang bantuan ketenteraan kepada Ukraine.
- Andrey Gyurov, bekas perdana menteri sementara dan ahli perbankan, mendapat sokongan pembangkang pro-Barat.
- Pilihan raya menonjolkan pertembungan dasar luar antara kecenderungan pro-Moscow dan pro-Barat.
Presiden Iliana Iotova, yang menyokong rundingan dengan Moscow dan menentang bantuan ketenteraan kepada Ukraine, berdepan Andrey Gyurov, bekas perdana menteri sementara dan ahli perbankan yang disokong pembangkang pro-Barat.
Pusat pengundian dibuka pada pukul 7 pagi waktu tempatan dan dijadual ditutup pada pukul 8 malam, dengan tempoh pengundian dilanjutkan sehingga pukul 9 malam di pusat yang masih mempunyai pengundi beratur.
Dalam pusingan pertama minggu lalu, Iotova memperoleh 35 peratus undi, manakala Gyurov meraih 32 peratus, jauh berbeza daripada tinjauan pendapat yang meramalkan Iotova mendahului dengan jurang 20 mata peratusan.
Pusingan pertama di negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) itu turut mencatatkan kadar keluar mengundi yang amat rendah, iaitu hanya 23 peratus.
Penganalisis politik, Teodor Slavev berkata, pengundi sedang menilai tindak balas Iotova yang disifatkan kurang meyakinkan terhadap ancaman Rusia di Laut Hitam.
Pada Oktober lalu, beberapa kapal diserang di Laut Hitam berhampiran Bulgaria, menyebabkan 21 orang dilaporkan hilang dalam insiden yang dipercayai mempunyai kaitan dengan limpahan konflik Rusia-Ukraine.
Perdana Menteri Rumen Radev sebelum ini menyatakan serangan berkenaan kelihatan menguntungkan Rusia dan memanggil duta negara itu untuk memberikan penjelasan.
Bagaimanapun, kerajaan Bulgaria menegaskan setakat ini tiada bukti yang mengaitkan Moscow secara langsung dengan serangan berkenaan. – AFP