
KAJANG, 1 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ibu bapa supaya tidak mengabaikan tanggungjawab mendidik dan memantau anak-anak kerana masalah disiplin, buli, dadah serta penyalahgunaan telefon pintar tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah dan kerajaan.
- Pembentukan generasi berilmu mesti seiring pendidikan akhlak, adab dan nilai murni dengan penglibatan aktif ibu bapa di rumah.
- Sistem pendidikan perlu melahirkan generasi menguasai ilmu baharu termasuk kecerdasan buatan serta berpegang pada agama, adab dan budaya.
- Kerajaan akan menambah baik dasar dan peruntukan pendidikan, tetapi keberkesanan bergantung pada kesediaan ibu bapa membimbing anak.
Beliau berkata, pembentukan generasi berilmu perlu berjalan seiring dengan pendidikan akhlak, adab dan nilai murni, selain memerlukan penglibatan aktif ibu bapa dalam membimbing anak-anak di rumah.
Menurutnya, masih terdapat ibu bapa yang kurang mengambil tahu perkembangan anak-anak, termasuk sama ada mereka menyiapkan kerja sekolah, mengulang kaji pelajaran atau menghabiskan terlalu banyak masa menggunakan telefon pintar.
“Bagaimana boleh biarkan anak-anak balik pukul 10 malam, tidak mengapa, tidak bertanya? Kerja rumah, homework, dibuat atau tidak, kita tidak tahu. Ada yang anak pergi sekolah atau ke pasar raya pun ibu bapa tidak ambil tahu.
“Tidak boleh. Negara tidak boleh selamat jika sikap dan budaya ibu bapa masih begitu,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Perdana Menteri berkata, isu penderaan, buli, penyalahgunaan dadah dan kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan tindakan semua pihak, bukannya sekadar menyalahkan kerajaan atau sekolah.
Katanya, sistem pendidikan perlu melahirkan generasi yang bukan sahaja menguasai ilmu baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), malah mempunyai pegangan agama, akhlak dan budi pekerti yang baik.
“Ini Malaysia, bukan Eropah, bukan Amerika. Nilai, akhlak, budaya, bahasa, semua itu penting. Jadi kita kata menggapai di langit, mengakar di bumi. Maknanya ilmu baharu, tetapi agama kita, akhlak kita, adab dan budi pekerti kita. Semua ini penting,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus menambah baik dasar dan peruntukan pendidikan, namun keberkesanannya turut bergantung pada kesediaan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab membimbing serta memantau anak-anak.