
KOTA BHARU, 1 November – Jabatan Peguam Negara (AGC) memperuntukkan RM100,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Hor bagi melaksanakan empat projek penambahbaikan kemudahan fizikal dan digital menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI.
- AGC tunjuk komitmen sokong pembangunan pendidikan luar bandar menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI untuk merapatkan jurang kemudahan.
- Empat projek termasuk Hub Digital Pusat Sumber Puan Sri Nik Karthini, Studio TV Pusat Sumber Sekolah, Dewan Aspirasi dan Anjung Dusuki.
- AGC juga berkongsi ilmu undang-undang, disiplin dan nilai integriti serta menyokong pembelajaran inklusif untuk murid berkeperluan khas.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen AGC dalam menyokong pembangunan pendidikan, khususnya bagi memastikan sekolah di luar bandar turut menikmati kemudahan pembelajaran yang berkualiti.
Menurut beliau, empat projek yang dilaksanakan merangkumi pembangunan Hub Digital Pusat Sumber Puan Sri Nik Karthini, pembinaan Studio TV Pusat Sumber Sekolah (TVPSS), Dewan Aspirasi serta Anjung Dusuki.
Katanya, usaha berkenaan bukan sahaja bertujuan menambah baik prasarana sekolah, malah memperluas akses kepada pembelajaran digital, menggalakkan kreativiti dan meningkatkan kemahiran komunikasi dalam kalangan murid.
“Kita mahu memastikan pembangunan sekolah tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, tetapi turut meliputi kawasan luar bandar bagi merapatkan jurang kemudahan dan pembangunan antara kedua-duanya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara di SK Pasir Hor, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata tanggungjawab AGC tidak hanya tertumpu kepada bidang perundangan, sebaliknya turut merangkumi sumbangan kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan generasi masa hadapan.
Jelasnya, komitmen itu turut dizahirkan menerusi pelbagai inisiatif kemasyarakatan termasuk Program Kampung Angkat MADANI yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.
Selain penambahbaikan prasarana, AGC juga berhasrat berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan kesedaran undang-undang, disiplin, tanggungjawab serta nilai integriti bersama murid sekolah rendah.
Inisiatif berkenaan diharap dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan inklusif, khususnya bagi murid berkeperluan khas, selain menyokong usaha melahirkan generasi masa hadapan yang berpengetahuan dan berintegriti.