43 pelajar eKasih Bandar Tun Razak terima sumbangan RM600

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 1 November – Seramai 43 pelajar daripada keluarga miskin berdaftar dalam sistem eKasih di Parlimen Bandar Tun Razak menerima sumbangan simpanan pendidikan dan baucar kelengkapan persekolahan bernilai keseluruhan RM600 setiap seorang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sumbangan: RM500 dalam bentuk SSPN dan baucar persekolahan RM100 untuk meringankan beban keluarga menjelang sesi persekolahan.
  • Program Sejahtera MADANI bertujuan memupuk budaya menabung serta memperkukuh pembangunan modal insan dan pemerkasaan keluarga.
  • Program memberi manfaat kepada 500 penerima eKasih Wilayah Persekutuan, dengan peruntukan keseluruhan RM300,000.

Sumbangan itu merangkumi RM500 dalam bentuk Sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) serta baucar persekolahan bernilai RM100 bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga, khususnya menjelang sesi persekolahan.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, inisiatif menerusi Program Sejahtera MADANI: Pendidikan itu turut bertujuan memupuk budaya menabung bagi menjamin masa depan pendidikan anak-anak sejak usia muda.

““Seramai 43 penerima masing-masing menerima RM500 sebagai tabungan untuk masa depan pendidikan mereka.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan ruang dan peluang ini, sekali gus menyediakan insentif bagi membantu mereka merancang masa depan pendidikan dengan lebih baik,”katanya ketika ditemui pemberita pada program penyerahan sumbangan Sijil SSPN kepada ahli isi rumah eKasih di Parlimen Bandar Tun Razak.

Menurut beliau, program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif lebih besar yang memberi manfaat kepada 500 penerima daripada keluarga miskin eKasih di seluruh Wilayah Persekutuan, dengan peruntukan keseluruhan RM300,000.

Program Sejahtera MADANI merupakan inisiatif Kerajaan MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan menerusi kerjasama strategik antara kerajaan dengan sektor korporat.

Pelaksanaan program itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan bukan sahaja menyediakan bantuan segera, malah memperkukuh pembangunan modal insan dan pemerkasaan keluarga menerusi pendidikan bagi memutuskan rantaian kemiskinan.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Wilayah Persekutuan (ICU JPM), Megat Azlani Megat Ramli; Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Megat Affandi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif ALMP Siri 89 Bil. 4/2026, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan; serta wakil Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.