Dakwaan petrol bercampur air, 11 stesen minyak di Kedah diperiksa

Foto KPDN

ALOR SETAR, 5 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menjalankan pemeriksaan ke atas 11 stesen minyak di beberapa daerah negeri itu, susulan dakwaan petrol bercampur air.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan awal mendapati tiada petunjuk kehadiran air dalam tangki simpanan bahan api.
  • Sampel petrol diambil daripada tangki dan pam dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis; pengusaha stesen turut hantar sampel kepada makmal syarikat.
  • Orang ramai dinasihatkan jangan membuat kesimpulan awal dan diminta salurkan aduan rasmi melalui WhatsApp, Portal e-Aduan, Call Centre atau aplikasi EzADU.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin menerusi kenyataan memaklumkan, pemeriksaan yang dilakukan hari ini melibatkan empat stesen di Alor Setar, Kubang Pasu (2), Sungai Petani (2) serta Kulim (3).

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada petunjuk kehadiran air dalam tangki simpanan bahan api yang diperiksa.

“Pasukan penguat kuasa KPDN turut memeriksa tangki simpanan bahan api, selain menjalankan pengukuran paras bahan api secara manual menggunakan batang celup (dipstick) atau dip rod dan membandingkannya dengan bacaan sistem Automatic Tank Gauge (ATG),” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, KPDN menegaskan dapatan itu bukan keputusan muktamad berhubung dakwaan berkenaan.

Sampel petrol telah diambil daripada tangki dan pam terlibat untuk dihantar kepada Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis lanjut.

Pada masa sama, pengusaha stesen minyak turut menghantar sampel bahan api ke makmal syarikat minyak untuk dianalisis.

Sehubungan itu, KPDN akan meneliti keputusan analisis dan keseluruhan hasil siasatan sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat kesimpulan awal berdasarkan maklumat yang tular di media sosial dan menyalurkan aduan rasmi sekiranya mempunyai maklumat berkaitan.

Aduan boleh dibuat melalui WhatsApp KPDN di talian 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi EzADU KPDN.

Pada Ahad tular di media sosial mengenai aduan pengguna kenderaan yang mendakwa petrol RON95 yang dibeli di stesen sebelah utara disyaki bercampur air.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.