
KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Kerajaan telah membelanjakan RM42.5 bilion bagi menampung hutang dan komitmen berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) setakat 31 Ogos 2026.
- RM13 bilion peruntukan Belanja Pembangunan digunakan Mac 2023 untuk melunaskan bon AS$3 bilion, sekitar 13.1 peratus peruntukan 2023.
- Baki komitmen Sukuk Islam dan MTN dijamin kerajaan berjumlah RM8.9 bilion, merangkumi prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion sehingga 2039.
- Liabiliti bersih kerajaan berkaitan 1MDB dianggarkan RM20.1 bilion jika tiada pemulihan aset; penyelesaian bergantung kepada keputusan mahkamah dan penguatkuasaan luar negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, baki komitmen Sukuk Islam dan Nota Jangka Sederhana (MTN) yang dijamin kerajaan berjumlah RM8.9 bilion, merangkumi prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion sehingga matang pada 2039.
Bagaimanapun, liabiliti bersih kerajaan berkaitan 1MDB dianggarkan masih berbaki RM20.1 bilion sekiranya tiada pemulihan aset atau dana tambahan.
Beliau berkata, sebanyak RM13 bilion daripada peruntukan Belanja Pembangunan terpaksa digunakan pada Mac 2023 bagi melunaskan bon 1MDB bernilai AS$3 bilion yang dijamin kerajaan.
Jumlah itu bersamaan kira-kira 13.1 peratus daripada keseluruhan peruntukan Belanja Pembangunan 2023 sebanyak RM99 bilion.
“Sekiranya peruntukan tersebut tidak perlu digunakan bagi membayar komitmen 1MDB, ia berpotensi dimanfaatkan untuk membiayai pelbagai keutamaan pembangunan negara, termasuk pembinaan sekolah dan hospital, penyediaan jalan raya, bekalan air luar bandar serta pelaksanaan pelbagai program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lee Chuan How, mengenai sasaran penyelesaian baki liabiliti bersih 1MDB serta nilai aset dan tuntutan yang masih dalam proses pemulihan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, kerajaan terus mempergiat usaha mendapatkan pampasan serta memulihkan aset dan dana berkaitan menerusi tindakan undang-undang dan mekanisme pemulihan aset di dalam serta luar negara.
Bagaimanapun, kerajaan belum menetapkan tahun muktamad untuk menyelesaikan semua liabiliti dan tuntutan berkaitan 1MDB kerana proses pemulihan turut bergantung pada keputusan mahkamah serta tindakan penguatkuasaan di dalam dan luar negara.