
SEPANG, 1 Oktober – Motosikal milik pengunjung dilarang memasuki kawasan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sepanjang penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 hujung minggu ini.
- SIC dan PDRM laksanakan pelan pengurusan trafik baharu untuk mengurangkan kesesakan dan melancarkan pergerakan pengunjung.
- Hanya kenderaan dengan pelekat atau pas parkir sah dibenarkan memasuki kawasan parkir litar.
- SIC menyediakan 115 bas perantara luar dan 30 bas ulang-alik percuma; pengunjung tanpa pas disaran guna pengangkutan awam.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, langkah itu sebahagian daripada pelan pengurusan trafik baharu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengurangkan kesesakan dan melancarkan pergerakan pengunjung.
Menurutnya, hanya kenderaan yang mempunyai pelekat atau pas sah dibenarkan memasuki kawasan parkir litar.
“Sejak 1999 hingga sekarang, kita tidak begitu strategik dari segi kawalan lalu lintas kerana membenarkan semua kenderaan masuk, menyebabkan aliran trafik masuk dan keluar sentiasa tinggi dan sesak.
“Justeru, kali ini kita mengehadkan kenderaan persendirian dan melarang kemasukan motosikal orang awam ke dalam kawasan SIC bagi mengurangkan kesesakan selain memudahkan pihak polis membuat kawalan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Pengunjung tanpa pas parkir disaran menggunakan pengangkutan awam, perkhidmatan e-hailing atau bas perantara percuma yang disediakan sepanjang perlumbaan.
Sebanyak 115 bas perantara percuma disediakan dengan kerjasama Rapid KL dari empat lokasi iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Tempat Letak Kereta Jangka Panjang KLIA, Mitsui Outlet Park dan Bandar Enstek.
“Selain 115 bas di empat hab luar itu, pihak SIC turut menyediakan 30 bas ulang-alik secara percuma di dalam kawasan litar yang akan beroperasi tanpa henti dari 7 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, ACP M Ravi berkata, lapan lokasi pemeriksaan akan digunakan bagi melaksanakan saringan serta mengawal aliran trafik menuju SIC bermula pagi esok.
“Pihak PDRM bersama kawalan keselamatan SIC akan membuat tapisan awal di beberapa lokasi pemeriksaan yang telah ditetapkan.
“Sekiranya pengunjung tidak mempunyai tiket parkir atau pelekat parkir, mereka akan terus dilencongkan ke laluan lain,” katanya.
Menurutnya, seramai 700 pegawai dan anggota Kontinjen Selangor akan ditugaskan mengawal trafik serta menjalankan rondaan di sekitar litar sepanjang acara.
F1 GP Gulf Air Bahrain 2026 akan berlangsung mulai esok hingga Ahad ini.