Selangor teliti kemungkinan rayuan keputusan saman banjir Taman Sri Muda

Keadaan banjir di Taman Sri Muda pada tahun 2021 / Foto Fail BERNAMA

SHAH ALAM, 1 Oktober – Kerajaan Selangor akan mendapatkan pandangan Penasihat Undang-Undang Negeri berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada 50 penduduk Taman Sri Muda dalam saman berkaitan banjir besar pada Disember 2021.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 29 Sept memutuskan 50 penduduk Taman Sri Muda berjaya dalam saman banjir Disember 2021.
  • Mahkamah mendapati JPS Selangor, MBSA dan Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab bersama kerana kecuaian dan kegagalan berkaitan kejadian.
  • Penduduk menuntut ganti rugi khas kira-kira RM3.77 juta serta ganti rugi am dan ganti rugi teruk.
  • Kerja pendalaman Sungai Klang tingkatkan kapasiti kira-kira 20 peratus; projek tebatan menyeluruh dijangka siap 31 Januari 2029.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penelitian itu perlu dibuat sebelum menentukan tindakan seterusnya.

“Saya akan mendapatkan maklumat daripada pihak Pegawai Penasihat Undang-Undang Negeri untuk melihat proses seterusnya, sama ada proses rayuan harus dilakukan ataupun tidak kerana ia baharu keputusan di Mahkamah Tinggi.

“Masih ada ruang untuk rayuan dibuat bagi memberikan justifikasi tertentu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jalan dan Lebuh Raya Selangor 2026-2035 (JALUR Selangor), di sini, semalam.

Pada 29 September lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan 50 penduduk Taman Sri Muda berjaya dalam saman berhubung kerugian akibat banjir besar berkenaan.

Mahkamah mendapati beberapa pihak berkuasa termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertanggungjawab bersama Kerajaan Persekutuan berhubung kecuaian dan kegagalan berkaitan kejadian itu.

Penduduk berkenaan menuntut ganti rugi khas kira-kira RM3.77 juta, selain ganti rugi am dan ganti rugi teruk.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Amirudin berkata, kerja pendalaman Sungai Klang di sekitar Taman Sri Muda telah meningkatkan kapasiti sungai kira-kira 20 peratus.

Menurutnya, pengurusan pam serta pintu air di kawasan berkenaan juga telah dipertingkatkan dan kini berfungsi dengan baik bagi membantu mengurangkan risiko banjir.

Projek tebatan banjir secara menyeluruh di sepanjang Sungai Klang yang melibatkan JPS dan Kerajaan Persekutuan dijangka siap pada 31 Januari 2029.

Kerja pendalamam sungai yang dilaksanakan kerajaan negeri pula merupakan usaha mitigasi berasingan menerusi Landasan Lumayan dengan kerjasama JPS.

Datuk Seri Amirudin berkata, kerajaan negeri membelanjakan antara RM30 juta hingga RM40 juta bagi kerja berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.