Semua institusi pendidikan di Johor kembali beroperasi Isnin ini

Pembukaan semula mengambil kira keperluan pelaksanaan peperiksaan akhir tahun serta persediaan peperiksaan SPM

JOHOR BAHRU, 24 Oktober – Kerajaan Negeri Johor memutuskan semua institusi pendidikan bakal kembali beroperasi Isnin ini, selepas mengambil kira perkembangan situasi jerebu juga penilaian agensi berkaitan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dibuat atas titah Pemangku Sultan Johor yang utamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat Johor.
  • Perubahan arah angin, peningkatan kelembapan dan jangkaan hujan dijangka mengurangkan kesan jerebu; trend IPU menurun lima hari lepas.
  • Pembukaan mengambil kira keperluan pelaksanaan peperiksaan akhir tahun serta persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
  • Jabatan Kesihatan Negeri menilai risiko; Jabatan Pendidikan laksana SOP termasuk pelitup muka. Kerajaan negeri terus memantau jerebu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali dalam kenyataan memaklumkan, keputusan berkenaan dibuat atas titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat Johor.

“Selain itu, perubahan arah angin yang bermula hari ini, peningkatan kelembapan dan jangkaan hujan dijangka membantu mengurangkan kesan jerebu selain mengambil kira trend penurunan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di seluruh negeri sejak lima hari lepas.

“Pembukaan semula itu mengambil kira keperluan pelaksanaan peperiksaan akhir tahun serta persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Penilaian risiko kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri turut menjadi pertimbangan utama bagi memastikan keselamatan murid, guru dan warga sekolah sentiasa terpelihara,”katanya.

Jabatan Pendidikan Johor juga akan menyelaras pelaksanaan prosedur operasi standard kesihatan dan keselamatan termasuk pemakaian pelitup muka serta pemantauan aktiviti persekolahan berdasarkan bacaan IPU semasa dan garis panduan yang ditetapkan.

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga agensi berkaitan terus memantau perkembangan situasi jerebu secara berterusan dan sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,”katanya lagi.

Sebelum ini, penutupan semua sekolah di Johor selama 10 hari melibatkan lebih 1,000 sekolah dan kira-kira 600,000 pelajar berikutan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.