PM mahu siasatan kematian dalam tahanan dijalankan secara telus

Foto FB Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan berhubung kematian Noorizwan Zulkefly dalam tahanan polis dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri menghubungi Ketua Polis Negara untuk maklumat lanjut dan memastikan perkembangan siasatan dimaklumkan kepada keluarga.
  • Anwar menyatakan simpati terhadap kesedihan keluarga dan memahami keresahan mereka menanti penjelasan.
  • Polis menunggu laporan penuh Jabatan Kimia dan keputusan patologi untuk tentukan punca sebenar kematian.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata beliau telah menghubungi Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes itu serta memastikan perkembangan siasatan dimaklumkan kepada keluarga Allahyarham.

Perdana Menteri turut menzahirkan rasa simpati terhadap kesedihan dan keresahan keluarga yang masih menantikan penjelasan berhubung kematian Noorizwan.

“Saya mengambil maklum kehadiran keluarga Allahyarham Noorizwan untuk menyerahkan surat rayuan kepada saya hari ini, dan amat berdukacita atas pemergian Allahyarham serta memahami kesedihan dan keresahan keluarga yang menantikan jawapan,” katanya.

Datuk Seri Anwar yang dijadual menghadiri beberapa program di Melaka hari ini berkata beliau telah mewakilkan pegawainya untuk menerima surat rayuan itu serta mendengar perkara dibangkitkan keluarga.

Media sebelum ini melaporkan polis masih menunggu laporan penuh Jabatan Kimia dan keputusan patologi bagi menentukan punca sebenar kematian lelaki itu pada 1 Okt lepas.

Noorizwan ditahan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Beliau kemudian dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz pada 30 Sept untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.52 pagi keesokan harinya.- BERNAMA

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.