
KUALA LUMPUR, 30 September – Sebanyak 1,350 karton rokok tidak bercukai kastam bernilai RM739,200 dirampas dalam serbuan Op Taring Alpha 1 di Kampung Subang Baru, Shah Alam, pagi tadi.
- Seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun ditahan, dipercayai bertindak sebagai penghantar rokok.
- Operasi merampas jenama rokok Canyon Premium dan Menthol serta sebuah Toyota Alphard, kunci kenderaan dan telefon bimbit.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
- WCB/PSK merekodkan 268 serbuan, 455 tangkapan dan rampasan bernilai anggaran RM330.69 juta sehingga 30 September.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Datuk Mohd Zaki Ashar dalam kenyataan berkata
serbuan kira-kira pukul 8.00 pagi itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penghantar rokok.
Beliau berkata serbuan oleh WCB/PSK, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman itu adalah hasil risikan dan pemantauan terhadap kegiatan pengedaran rokok tidak bercukai untuk pasaran tempatan.
“Dalam serbuan itu, pasukan operasi merampas 1,350 karton rokok jenama Canyon Premium dan Menthol dianggarkan bernilai RM739,200.
“Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard, berserta kunci kenderaan dan sebuah telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan.
Nilai rokok yang dirampas dianggarkan RM739,200, manakala keseluruhan rampasan bernilai RM820,200.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Hasil siasatan awal mendapati suspek mendakwa telah bertindak sebagai penghantar rokok selama kira-kira dua tahun dengan menerima bayaran RM5,000 sebulan.
Suspek turut mendakwa menerima arahan daripada seorang lelaki warga Bangladesh.
“Kami akan terus mempergiatkan penguatkuasaan dan risikan bagi memutuskan rangkaian penyeludupan barangan tidak bercukai, termasuk pihak yang membekal, menyimpan, mengangkut dan mengedarkannya,” katanya.
Suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), IPD Sungai Buloh untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September tahun ini,
WCB/PSK, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman telah merekodkan 268 serbuan di seluruh negara, dengan 455 individu ditahan dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM330.69 juta.