
JOHOR BAHRU, 30 September – Seorang lelaki berusia 30-an ditahan selepas dipercayai melarikan sebuah lori yang dilaporkan hilang sebelum dikejar polis di Pasir Gudang, pagi tadi.
- Polis menerima maklumat dan kejadian berlaku sekitar 7.20 pagi di kawasan perindustrian Tanjung Langsat.
- Suspek enggan berhenti, memandu secara berbahaya dan melanggar kereta peronda polis.
- Suspek cuba melarikan diri tetapi diberkas kira-kira 10.20 pagi di Pasir Gudang.
- Pemeriksaan menemui paket dadah; saringan awal positif methamphetamine; suspek mempunyai 27 rekod jenayah lampau.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku kira-kira 7.20 pagi selepas pihaknya menerima maklumat mengenai lori berkenaan yang dikesan hilang di kawasan perindustrian Tanjung Langsat.
Beliau berkata, polis berjaya mengesan lori terbabit, namun suspek enggan memberhentikan kenderaan sebelum memandu secara berbahaya dan melanggar kereta peronda polis.
“Suspek juga cuba melarikan diri namun berjaya diberkas kira-kira 10.20 pagi di kawasan Pasir Gudang,” katanya.
Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan satu paket lutsinar yang disyaki mengandungi dadah.
Semakan turut mendapati suspek mempunyai 27 rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.
“Saringan awal juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru esok bagi membantu siasatan lanjut.
Terdahulu, beberapa rakaman video memaparkan aksi kereta peronda polis mengejar lori dipandu secara berbahaya tular di media sosial.