
GEORGE TOWN, 20 November – Empat warga Myanmar termasuk seorang individu yang berperanan sebagai tekong ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran, pada 25 Oktober lepas.
- Modus operandi menggunakan laluan hutan dan bertukar kenderaan untuk mengaburi pihak berkuasa.
- Risikan dua minggu oleh Unit Marin JKDM Pulau Pinang bersama pasukan COBRA mengesan kenderaan mencurigakan kira-kira pukul 3 pagi.
- Pemeriksaan mendapati tiga wanita keluarga itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tiada rekod keluar masuk mengikut semakan Imigresen.
- Keempat-empat individu direman 14 hari; kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta 670 dan tiga wanita di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Hasbollah Din mendedahkan modus operandi mereka adalah menggunakan laluan hutan untuk memasuki Malaysia, sebelum menggunakan kenderaan berbeza bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Hasil risikan selama dua minggu oleh sepasukan pegawai Unit Marin JKDM Pulau Pinang bersama pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 3 pagi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga wanita berkenaan yang mempunyai hubungan kekeluargaan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, selain tiada pergerakan keluar masuk ke Malaysia berdasarkan semakan dengan Jabatan Imigresen,”katanya dalam sidang media di Kompleks Pencegahan Kastam Negeri.
Keempat-empat individu berkenaan, direman 14 hari.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), manakala tiga wanita terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas sah.