Tujuh warga asing ditahan cuba masuk secara haram ke Malaysia

Tiga warga Indonesia yang didakwa membayar RM6,000 untuk masuk ke Malaysia secara haram/Foto PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU, 30 September – Tujuh warga asing termasuk empat lelaki Bangladesh dan tiga warga Indonesia ditahan dalam dua kes berasingan kerana disyaki memasuki Malaysia secara haram di Kampung Sungai Keladi, di sini, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga warga Indonesia ditemui dalam sebuah MPV dengan tiga pasport tanpa cop keluar masuk Malaysia.
  • Mereka mengaku membayar kira-kira RM6,000 kepada ejen; laluan Surabaya, Singapura, Hatyai, Takbai, kemudian bot ke Malaysia.
  • Empat warga Bangladesh ditemukan di semak; tiga ada pasport tanpa cop, seorang tanpa dokumen, pernah tinggal melebihi masa dan dikenakan kompaun.
  • Semua tangkapan diserahkan kepada BSJ IPD Kota Bharu; kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Dalam kes pertama kira-kira pukul 12.15 tengah malam, tiga warga Indonesia terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita ditahan selepas mereka ditemui dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain, berkata kenderaan itu dikesan ketika anggota Risik, Task Force Batalion 8 PGA dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menjalankan rondaan.

“MPV berkenaan memecut selepas menyedari kehadiran anggota sebelum berhenti berhampiran sebuah rumah, manakala beberapa individu lain yang berada di kawasan itu melarikan diri ke bahagian belakang rumah.

“Hasil pemeriksaan menemukan seorang lelaki dan dua wanita warga Indonesia di tempat duduk penumpang belakang serta tiga pasport Indonesia yang tidak mempunyai cop keluar masuk Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Siasatan mendapati ketiga-tiga mereka memulakan perjalanan dari Surabaya, Indonesia, pada 28 September sebelum transit di Singapura dan meneruskan perjalanan ke Hatyai, Thailand, pada 29 September.

Mereka kemudian dipercayai dibawa menaiki van ke Takbai, Thailand, sebelum menaiki bot untuk memasuki Malaysia melalui laluan tidak diwartakan.

Menurut Ahmad Radzi, ketiga-tiga mereka mengaku membayar kira-kira RM6,000, kepada seorang ejen di Indonesia bagi menguruskan perjalanan berkenaan.

Mereka dipercayai datang ke Malaysia untuk bekerja di Kuala Lumpur, dengan lelaki terbabit sebagai buruh binaan manakala dua wanita berkenaan sebagai pembantu rumah.

Empat warga Bangladesh dipercayai menyeludup masuk ke negara ini secara haram/Foto PGA Briged Tenggara

Dalam kes kedua kira-kira pukul 1.30 pagi, empat lelaki warga Bangladesh pula ditahan selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan semak di kampung sama.

Keempat-empat mereka cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota PGA dan Maritim Malaysia.

Pemeriksaan mendapati tiga daripada mereka memiliki pasport Bangladesh tanpa cop kemasukan ke Malaysia, manakala seorang lagi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Ahmad Radzi berkata, siasatan mendapati kesemua lelaki berusia antara 32 hingga 42 tahun itu pernah tinggal di Malaysia secara sah sebelum ini, namun telah tinggal lebih masa dan dikenakan kompaun.

“Pasport mereka kemudiannya disenarai hitam dan setiap seorang dipercayai membayar kira-kira RM5,000, kepada ejen untuk masuk ke Malaysia melalui Thailand,” katanya.

Kesemua tangkapan dalam kedua-dua kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.