
SERDANG, 24 Oktober – Sukan memanah berkuda di Malaysia berpotensi melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi, namun usaha itu memerlukan sokongan berterusan kerajaan menerusi penyediaan fasiliti latihan, pembangunan akademi serta pengukuhan ekosistem sukan berkenaan di seluruh negara.
- Kejayaan antarabangsa, termasuk juara junior Abu Bakr Muhamad Akmal dan prestasi pasukan senior, membuktikan bakat Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia.
- Sukan belum diiktiraf dalam temasya besar, jadi pendedahan awam perlu dipertingkat untuk tarik penyertaan dan bakat baharu.
- Memanah berkuda terbuka untuk semua lapisan; inisiatif seperti Queen Persona tingkatkan keyakinan, disiplin dan penyertaan wanita.
Presiden Persekutuan Memanah Berkuda Malaysia, Mohd Nasrul Kamarulzaman berkata, Malaysia memiliki bakat besar dalam sukan itu, seperti dibuktikan menerusi pencapaian atlet tempatan di pentas antarabangsa.
Bagaimanapun, katanya, bakat berkenaan perlu terus digilap menerusi latihan yang sistematik, pembangunan jurulatih berkemahiran tinggi dan akses kepada fasiliti yang lebih menyeluruh bagi memastikan sukan itu dapat berkembang secara mampan.
“Di luar negara, Malaysia sudah cukup dikenali dan pasukan kita turut digeruni. Jadi, kita memerlukan sokongan kerajaan untuk membina ekosistem yang baik dalam negara, termasuk melahirkan jurulatih bertaraf dunia dan membangunkan akademi di setiap negeri,” katanya ketika ditemui RTM di sini.
Potensi atlet negara itu turut dibuktikan menerusi kejayaan atlet junior, Abu Bakr Muhamad Akmal, yang muncul juara keseluruhan kategori junior pada Kejohanan Serantau Oceania IHAA 2026 di Australia, dari 16 hingga 18 Oktober lalu.
Pada masa sama, pasukan senior negara turut menunjukkan prestasi membanggakan di peringkat antarabangsa, sekali gus membuktikan kemampuan atlet Malaysia untuk bersaing dengan negara yang mempunyai tradisi sukan berkuda seperti Mongolia dan Kazakhstan.
Menurut Mohd Nasrul, memanah berkuda berdepan cabaran untuk mendapatkan perhatian dan sokongan lebih meluas kerana sukan itu belum dipertandingkan secara rasmi dalam temasya utama seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik.
Justeru, usaha memperluas pendedahan kepada masyarakat perlu dipertingkatkan bagi memperkenalkan sukan berkenaan kepada orang ramai, selain membuka ruang kepada bakat baharu untuk berkembang.
Beliau berkata, memanah berkuda juga mempunyai potensi untuk disertai pelbagai lapisan masyarakat dan tidak seharusnya dilihat sebagai sukan eksklusif untuk golongan berkemampuan.
Antara usaha memperluas penyertaan itu digerakkan kumpulan berkuda Queen Persona (QP), yang menghimpunkan wanita daripada pelbagai latar belakang, termasuk suri rumah, warga emas dan wanita bekerjaya.

Pengasas QP, Azlia Idha berkata, sukan berkuda yang berteraskan warisan Furusiyyah bukan sahaja membantu meningkatkan kecergasan fizikal, malah membentuk keberanian, disiplin dan jati diri, khususnya dalam kalangan wanita.
“Apabila kita sudah berani, kita akan mendapat jati diri dan semangat. Wanita perlu faham bahawa kita ialah penggerak kepada generasi akan datang dan mendidik anak-anak dari rumah. Sebab itu, kualiti diri sangat penting,” katanya.
Manfaat itu turut dirasai ahli QP, Noraini Sanding, 59 tahun, yang menyifatkan penyertaannya dalam sukan memanah berkuda sebagai pengalaman yang meningkatkan keyakinan diri serta keberanian untuk berkomunikasi.
“Latihan mingguan bukan sahaja memberikan saya kemahiran baharu, malah kehidupan saya lebih aktif dan bersemangat,” katanya.

Selain mengikuti latihan secara berkala, peserta turut berpeluang menimba pengalaman menerusi penyertaan dalam kejohanan di dalam dan luar negara, sekali gus menguji kemahiran serta meningkatkan keupayaan masing-masing.
Walaupun memanah berkuda memerlukan komitmen dari segi latihan, penjagaan kuda dan penyelenggaraan peralatan, minat serta dedikasi menjadi asas penting untuk menguasai sukan berkenaan.
Dengan sokongan kerajaan dan pihak berkepentingan, termasuk penyediaan fasiliti bersesuaian, peluasan akses latihan dan pembangunan akademi di seluruh negara, lebih ramai rakyat berpeluang menceburi sukan itu tanpa mengira usia dan latar belakang.
Usaha tersebut bukan sahaja penting untuk melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, malah bagi memastikan prestasi sukan memanah berkuda negara terus berkembang kukuh di persada dunia.