
LABUAN, 24 Oktober – Seramai 69 peserta menyertai Kejohanan Pingpong (Para) 2026 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan di sini.
- Kejohanan memberi peluang kepada murid termasuk murid berkeperluan khas mengembangkan bakat dan melahirkan atlet para mewakili wilayah.
- Program bertujuan meningkatkan keyakinan pemain dan menyediakan platform berterusan melalui litar kejohanan serta pencarian bakat di sekolah.
- Pertandingan merangkumi enam kategori termasuk perseorangan U12, U18, kategori terbuka murid berkeperluan khas dan PPKI; penyertaan dirancang diperluas ke Borneo.
Penaung Pearl Para Table Tennis Club (PPTTC) Labuan Aznan Abidin berkata, kejohanan anjuran kelab itu, membuka peluang kepada murid sekolah, termasuk murid berkeperluan khas, untuk mengembangkan bakat dalam sukan pingpong.
“Tema kejohanan ini lebih tertumpu kepada para pingpong. Tujuan utama penubuhan kelab pendidikan khas ini adalah untuk melahirkan atlet para yang mampu mewakili Labuan.
“Walaupun mempunyai keupayaan berbeza mereka juga boleh menyumbang sesuatu untuk Labuan. Menariknya, kejohanan kali ini turut dibuka kepada semua kategori, termasuk aliran perdana,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Penganjuran itu bagi meningkatkan keyakinan pemain untuk menyertai lebih banyak pertandingan, serta menyediakan platform berterusan menerusi perancangan mengadakan kejohanan berbentuk litar dan program pencarian bakat di sekolah.
Kejohanan itu merangkumi enam kategori, termasuk perseorangan lelaki dan perempuan bawah 12 serta 18 tahun, selain kategori terbuka murid berkeperluan khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi
(PPKI).
Kejohanan itu juga dirancang untuk diteruskan pada tahun-tahun akan datang, dengan penyertaan diperluas ke peringkat Borneo dan tumpuan khusus diberikan kepada kategori para.