
KUALA LUMPUR, 28 September – Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026 masih memerlukan penambahbaikan menyeluruh sebelum dimuktamadkan untuk dibawa ke Parlimen.
- Penekanan kepada keperluan mekanisme pelaksanaan praktikal dan jelas agar mudah dilaksanakan di semua peringkat kerajaan.
- JKPK terbuka menerima pandangan, kritikan dan maklum balas daripada NGO, organisasi masyarakat sivil dan pihak media.
- Sesi pendengaran awam diadakan untuk memperluas penyertaan pihak berkepentingan dan masukan masyarakat dalam penelitian RUU.
- Penggubalan RUU selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penambahbaikan itu turut meliputi aspek praktikal serta mekanisme pelaksanaan yang jelas dan mudah dilaksanakan di pelbagai peringkat kerajaan.
Beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai maklum balas berhubung RUU berkenaan dan mengambil kira perkara yang perlu diperbaiki.
“Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) terbuka mendengar segala pandangan, kritikan serta maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi masyarakat sivil dan pihak media.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya melihat perkara ini daripada satu prinsip yang mudah. Undang-undang yang baik bukan hanya mempunyai niat yang baik, tetapi harus mempunyai tuntutan yang jelas dan mekanisme aplikasi yang dapat difahami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Pendengaran Awam (National Town Hall) Mengenai RUU Kebebasan Maklumat 2026 di Parlimen, hari ini.
Datuk Seri Azalina berkata, RUU itu telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu sebelum dirujuk kepada JKPK pada 14 Julai.
Sementara itu, sesi pendengaran awam hari ini diadakan bagi memperluas penyertaan pihak berkepentingan dan masyarakat awam dalam proses penelitian RUU berkenaan.
Langkah itu penting bagi memastikan isu utama berkaitan kerangka RUU dipertimbangkan secara menyeluruh sebelum syor dan pandangan jawatankuasa dimuktamadkan.
Penggubalan RUU Kebebasan Maklumat 2026 merupakan antara komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.