
PUTRAJAYA, 30 September – Seramai 3,524 tahanan Myanmar akan dihantar pulang ke negara asal menerusi fasa kedua program penghantaran pulang secara sukarela.
- Fasa kedua penghantaran pulang dipersetujui bersama Kerajaan Myanmar.
- Fasa pertama berjaya semalam, membabitkan 1,476 individu dikenalpasti dan nama dikemukakan melalui nota diplomatik bertarikh 13 Ogos 2026.
- Pelaksanaan diselaraskan Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan agensi berkaitan melalui pendekatan diplomatik dan rundingan langsung.
Jurucakap kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, jumlah itu dipersetujui bersama Kerajaan Myanmar bagi pelaksanaan fasa kedua program berkenaan.
“Fasa pertama berjaya dilaksanakan semalam membabitkan seramai 1,476 orang yang mana individu ini sudah dikenal pasti oleh pihak Myanmar dan nama-nama ini sudah dikemukakan melalui nota diplomatik bertarikh 13 Ogos 2026 kepada Malaysia,” katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Semalam media melaporkan, seramai 1,476 individu dihantar pulang menerusi fasa pertama program berkenaan, berdasarkan senarai yang dikemukakan oleh Kerajaan Myanmar melalui nota diplomatik rasmi.
Pelaksanaan itu diselaraskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi berkaitan yang mana penyelesaian itu dicapai melalui pendekatan diplomatik dan rundingan secara langsung dengan Kerajaan Myanmar.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri dijangka mengadakan perbincangan dengan Myanmar dalam masa terdekat supaya lebih ramai tahanan dari negara itu dapat dihantar pulang.
“Perdana Menteri juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak Myanmar dalam masa terdekat supaya lebih ramai pelarian yang berada di Malaysia dapat diterima pulang ke Myanmar selepas proses penghantaran kumpulan kedua selesai,” katanya.