PM tegur tindakan menghukum tanpa ilmu, pemahaman

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 28 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sikap segelintir pihak yang mudah melabel sesama umat Islam sebagai munafik dan murtad hanya berasaskan kefahaman agama yang cetek.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menghukum tanpa ilmu dan pemahaman mendalam mencetus ketegangan serta bertentangan dengan akhlak, kesederhanaan dan toleransi Islam.
  • Tradisi ilmu dan pencerahan mesti diperkukuh untuk menangani perbezaan pandangan secara matang dalam kalangan umat Islam.
  • Umat Islam perlu kuasai ilmu baharu dan teknologi maju seperti AI serta pengkomputeran kuantum tanpa mengabaikan akidah, akhlak dan nilai.

Beliau berkata, tindakan menghukum tanpa ilmu dan pemahaman mendalam bukan sahaja boleh mencetuskan ketegangan, malah bertentangan dengan tuntutan akhlak, kesederhanaan dan toleransi dalam Islam.

Menurutnya, tradisi ilmu dan pencerahan perlu diperkukuh bagi menangani perbezaan pandangan secara matang, termasuk dalam kalangan umat Islam sendiri.

“Sekarang ini, banyak juga masalah belajar agama sedikit, terus hukum. Terus jadi takfiri. Terus memurtadkan orang dan memunafikkan orang. Ini hanya symptomatic of the real problem”, katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar menegaskan kepentingan umat Islam menguasai ilmu baharu dan teknologi termaju, termasuk kecerdasan buatan (AI) serta pengkomputeran kuantum, bagi memastikan negara dan masyarakat Islam tidak ketinggalan dalam arus kemajuan global.

Beliau berkata, penguasaan teknologi perlu seiring dengan pengukuhan akidah, akhlak, nilai dan budaya supaya kemajuan tidak menghakis asas pembentukan tamadun.

“Hari ini ustaz, kita membincangkan keperluan menguasai ilmu seperti kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum. Namun, persoalannya, mengapa kita tidak meneroka bidang ilmu tersebut sambil memastikan prinsip dan nilai Islam terus dipelihara? Inilah cabaran yang perlu kita hadapi”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Majlis itu menampilkan pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara, yang menyampaikan tausiyah umum kepada kira-kira 250 hadirin.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.