MotoGP 2026: 649 anggota PDRM digerak jamin keselamatan, kelancaran trafik

Foto RTM

SEPANG, 28 Oktober – Seramai 649 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran trafik sepanjang penganjuran MotoGP 2026 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC), dari 30 Oktober hingga 1 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kawalan keselamatan dan pengurusan trafik dilaksanakan di sekitar litar serta laluan utama untuk melindungi pengunjung, peserta dan pihak terlibat.
  • Nasihat orang ramai: rancang perjalanan lebih awal, patuhi arahan polis dan gunakan bas ulang-alik penganjur untuk mengurangkan kesesakan.
  • Lorong aliran kontra dikhaskan untuk kenderaan orang kenamaan yang diiringi polis dan kenderaan kecemasan sahaja.
  • Pengguna jalan raya dinasihatkan memperuntukkan masa tambahan jika menuju ke KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ACP M. Ravi berkata, penugasan itu merangkumi kawalan keselamatan dan pengurusan trafik pengunjung di sekitar litar dan laluan utama menuju ke SIC.

“Penugasan ini merangkumi kawalan keselamatan bagi melindungi pengunjung, peserta dan semua pihak yang terlibat selain kawalan lalu lintas bagi memastikan pergerakan kenderaan di sekitar litar dan laluan utama berjalan dengan lancar, ” katanya pada sidang media kawalan trafik dan taklimat keselamatan sempena MotoGP Malaysia 2026 di sini pada Rabu.

Dalam masa sama, ACP M. Ravi turut menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan anggota polis dan menggunakan bas ulang-alik yang disediakan penganjur bagi mengurangkan kesesakan.

Beliau turut memaklumkan lorong aliran kontra hanya dikhaskan untuk kenderaan kenderaan orang kenamaan yang diiringi polis serta kenderaan kecemasan sahaja.

Pengguna jalan raya juga dinasihatkan memperuntukkan masa perjalanan tambahan sekiranya menuju ke KLIA Terminal 1 dan Terminal 2

“Kerjasama orang ramai amat penting. Ikut arahan anggota bertugas, pandu secara berhemah dan rancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.

MotoGP Malaysia 2026 bakal menghimpunkan pelumba bertaraf dunia dan dijangka menarik kehadiran sekitar 200 ribu peminat sukan permotoran tempatan serta antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.