APM siap siaga di seluruh negara hadapi MTL

Foto RTM

PUTRAJAYA 30 September – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggerakkan seramai 12,927 anggota bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesiapsiagaan APM diperkuat melalui aset operasi darat, air dan udara di seluruh negara.
  • Operasi merangkumi lima zon utama dengan pegawai operasi berfungsi 24 jam di negeri berisiko.
  • Petugas APM sentiasa memantau keadaan untuk memberi tindak balas segera jika berlaku kecemasan atau bencana.
  • Kesedaran komuniti ditekankan sebagai langkah awal mengurangkan kehilangan nyawa dan kerosakan atau kehilangan dokumen penting.

Ketua Pesuruhjaya APM, Mohammad Abiddin Abd Rahman berkata kesiapsiagaan turut diperkukuh menerusi aset operasi darat, air dan udara di seluruh negara.

Ujarnya, ia melibatkan lima zon utama iaitu Zon Utara (1,757 anggota), Zon Tengah (2,210), Zon Selatan (1,703), Zon Timur (3,108) dan Zon Borneo sebanyak 4,149 anggota.

Beliau berkata, persediaan berkenaan membolehkan APM memberi tindak balas segera sekiranya berlaku kecemasan atau bencana sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

“Kita sentiasa bersedia. Sebab itu pegawai operasi kita berfungsi 24 jam, tujuh hari seminggu di kebanyakan negeri, khususnya di kawasan yang berpotensi menjadi hotspot dan pernah mempunyai pengalaman kejadian sebelum ini.

“Petugas kita akan berada sepanjang masa di situ untuk memantau keadaan dan kita menjangkakan sebarang kemungkinan boleh berlaku pada bila-bila masa. Sebab itu kita mempunyai hampir 12,000 anggota sebagai kekuatan utama untuk bersama-sama menguruskan bencana atau kecemasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, kesedaran di peringkat komuniti juga penting sebagai langkah awal menghadapi bencana bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa serta kerosakan atau kehilangan dokumen penting.

Beliau berkata demikian pada Program Sinergi Media MADANI 2026 , yang diadakan bagi memberikan maklumat awal kepada para pengamal media berhubung kesiapsiagaan APM menjelang MTL 2026/2027 disini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.