
DURIAN TUNGGAL, 30 September – Seramai 134 mahasiswa daripada enam universiti menyertai Simposium Mahasiswa Borneo Aspirasi MA63 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), sebagai platform memperkukuh pemahaman generasi muda mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
- Persatuan Mahasiswa Anak Sabah dan Sarawak menganjurkan program bagi memperkukuh kefahaman generasi muda tentang intipati MA63.
- Panel termasuk Timbalan Ketua Menteri Datuk Ewon Benedick dan ADUN Lisa Hassan Alban membincangkan aspek berkaitan MA63.
- Naib Canselor berkata program memberi peluang kepada anak Borneo memahami kandungan MA63 dan mengelakkan salah tafsir.
- Timbalan Menteri MOSTI Datuk Mohammad Yusof Apdal menyeru mahasiswa Borneo jadi jambatan memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai MA63.
Program anjuran Persatuan Mahasiswa Anak Sabah dan Sarawak (PMaSS), UTeM itu menghimpunkan mahasiswa dari UTeM, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Simposium berkenaan turut menampilkan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Lisa Hassan Alban sebagai panel bagi membincangkan perkara berkaitan MA63.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr. Massila Kamalrudin berkata, penganjuran simposium itu memberi peluang kepada mahasiswa khususnya anak Borneo mendapatkan pemahaman yang lebih jelas mengenai kandungan dan intipati MA63.
“Intipati simposium ini lebih kepada forum untuk menerangkan kandungan MA63 supaya anak-anak Borneo memahami intipati sebenar yang ada pada MA63 dan tidak berlaku salah tafsir.
“Kita mahu mereka lebih memahami dan terbuka mengenai perkara ini,”** katanya ketika ditemui selepas simposium berkenaan di sini.
Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Mohammad Yusof Apdal.
Sementara itu, Datuk Mohammad Yusof dalam ucapannya berkata, mahasiswa Borneo mempunyai peranan penting sebagai jambatan yang menghubungkan komuniti, universiti dan negeri, selain membantu memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai MA63.