
KUALA LUMPUR, 18 November – Industri sawit Malaysia berada pada kedudukan baik untuk memenuhi keperluan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR), disokong kerangka kemampanan, pensijilan mandatori serta usaha memperkukuh kebolehkesanan digital rantaian bekalan.
- Sebanyak 92.36% daripada 5.7 juta hektar sawit kini disahkan MSPO, termasuk kira-kira 181,000 pekebun kecil.
- MSPO membantu pengendali memenuhi usaha wajar EUDR dengan bukti pematuhan undang-undang, pengurusan tanah dan amalan pengeluaran mampan.
- Integrasi GeoSAWIT, e-MSPO dan SIMS membolehkan jejak geospatial, rekod pensijilan dan data urus niaga bagi ketelusan rantaian bekalan.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak 92.36 peratus daripada 5.7 juta hektar kawasan tanaman kelapa sawit negara telah memperoleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), termasuk kira-kira 181,000 pekebun kecil persendirian.
“Menjelang tarikh pelaksanaan EUDR, keutamaan Malaysia adalah memastikan kerangka kemampanan sedia ada disokong maklumat yang boleh dipercayai, mudah diakses dan disahkan bagi membantu pengendali serta pengeksport memenuhi tanggungjawab usaha wajar masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Menurut MPOB, MSPO yang mula dilaksanakan pada 2015 menjadi bukti sokongan kepada pengendali industri dalam memenuhi tanggungjawab usaha wajar EUDR, khususnya berkaitan pematuhan undang-undang, pengurusan tanah dan amalan pengeluaran mampan.
“Walaupun pensijilan MSPO tidak secara automatik mewujudkan pematuhan terhadap EUDR, ia menyediakan bukti sokongan penting bagi pengendali yang menjalankan usaha wajar, khususnya dalam menunjukkan pengeluaran yang sah, pengurusan tanah yang bertanggungjawab, serta amalan kelestarian,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan ketelusan rantaian bekalan, Malaysia turut memperkukuh tiga sistem digital iaitu GeoSAWIT, e-MSPO dan Sistem Pengurusan Pintar Sawit (SIMS) yang akan disepadukan secara berperingkat.
Integrasi itu membolehkan maklumat geospatial, rekod pensijilan dan data urus niaga dihubungkan bagi memastikan pergerakan minyak sawit dapat dijejaki dari kawasan tanaman hingga ke peringkat perdagangan dan pemprosesan.