Sekatan cip AI AS berisiko perlahankan pembangunan pusat data Malaysia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 November – Langkah Amerika Syarikat (AS) mengetatkan kawalan akses kepada cip kecerdasan buatan (AI) berteknologi tinggi berisiko memperlahankan pembangunan pusat data di Malaysia, khususnya dari segi pemasangan cip dan pengaktifan kapasiti operasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peraturan baru Jabatan Perdagangan AS meningkatkan keperluan pelesenan dan pengesahan pelanggan, terutama bagi permintaan dari China.
  • Kesan awal menumpu kepada pemasangan cip GPU dan pengaktifan kapasiti pusat data, berisiko menangguhkan pembinaan jika komitmen penyewa berkurang.
  • Pelaburan besar syarikat teknologi global menyokong pertumbuhan, tetapi kawalan akses cip dan ketidakpastian pulangan boleh melambatkan kontrak baharu.

MBSB Research menerusi nota kajian memaklumkan, peraturan baharu Jabatan Perdagangan AS yang menyekat akses jarak jauh kepada cip canggih negara itu dijangka meningkatkan keperluan pelesenan serta pengesahan pelanggan, terutama membabitkan permintaan dari China.

“Bagaimanapun, kesannya dijangka tidak menyeluruh terhadap projek pusat data di Malaysia, terutama kemudahan yang menyokong syarikat teknologi gergasi AS dan mempunyai pelanggan serta operasi yang jelas.

“Kesan awal akan lebih tertumpu kepada pemasangan cip GPU dan pengaktifan kapasiti pusat data,” menurut nota kajian itu.

Menurut firma penyelidikan itu lagi, kelewatan pemasangan cip dan pengaktifan kapasiti berpotensi menjejaskan aktiviti pembinaan sekiranya komitmen penyewa berkurangan atau pembangunan fasa seterusnya ditangguhkan.

Dalam pada itu, komitmen pelaburan syarikat teknologi global terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor berkenaan.

Antara pelaburan yang dirancang termasuk Google sebanyak AS$15 bilion di Malaysia sepanjang 2027 hingga 2028, Microsoft sebanyak AS$2.2 bilion dan Amazon Web Services sebanyak AS$6.2 bilion sehingga 2038.

Sementara itu, sektor pembinaan negara mencatatkan momentum positif apabila nilai kerja pembinaan pada suku ketiga 2026 meningkat 9.0 peratus kepada AS$49.5 bilion, didorong pertumbuhan kukuh sektor swasta sebanyak 12.7 peratus.

Bagaimanapun, MBSB Research berpandangan penelitian lebih ketat terhadap akses cip, pulangan pelaburan AI serta komitmen perbelanjaan modal syarikat teknologi global berpotensi memperlahankan pemberian kontrak baharu dan pengembangan pusat data.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.