
KUALA LUMPUR, 18 November – Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian bakal menikmati peluang pekerjaan lebih luas menerusi kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan syarikat industri.
- Kementerian mengadakan sesi libat urus dengan syarikat; angka dan nama syarikat yang mengambil graduan akan dikemukakan secara bertulis.
- KPKM galak graduan ceburi keusahawanan pertanian dan perikanan dengan bantuan awal RM30,000 dan contoh penternakan tilapia teknologi bioflok kecil-kecilan.
- Datuk Seri Mohamad Sabu ingatkan graduan sentiasa dapatkan maklumat peluang dan bantuan melalui pegawai kementerian di peringkat daerah dan negeri.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementerian sedang mengadakan sesi libat urus dengan beberapa syarikat bagi memperluas peluang pekerjaan kepada graduan bidang berkenaan.
“Berhubung jumlah graduan yang telah mendapat pekerjaan, saya akan mengemukakan angka berkenaan secara bertulis.
“Antaranya syarikat yang menunjukkan penglibatan dalam usaha ini ialah sebuah syarikat penyelidikan di Selayang yang telah mengambil ramai graduan TVET untuk bekerja. Nama syarikat itu juga akan saya berikan kepada Yang Berhormat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi mengenai sasaran kementerian bagi memastikan peserta TVET pertanian mendapat pekerjaan atau membangunkan perniagaan sendiri selepas tamat latihan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, KPKM turut menggalakkan graduan menceburi bidang keusahawanan dalam sektor pertanian dan perikanan dengan memanfaatkan bantuan awal sebanyak RM30,000.
“Antara bidang yang berpotensi diceburi golongan muda ialah penternakan ikan tilapia menggunakan teknologi bioflok yang boleh diusahakan secara kecil-kecilan,” katanya.
Selain itu, Datuk Seri Mohamad Sabu turut mengingatkan graduan supaya sentiasa mendapatkan maklumat mengenai peluang dan bantuan yang disediakan kerajaan dengan berhubung rapat bersama pegawai kementerian di peringkat daerah dan negeri.