Lelaki terkaya di Afrika bina kilang penapisan minyak bernilai AS$16 bilion di Kenya

Dari kanan : Presiden Uganda, Yoweri Museveni; Presiden Kenya, William Ruto; Presiden dan Ketua Eksekutif Dangote Group, Aliko Dangote serta bekas Presiden Nigeria, Olusegun Obasanjo semasa majlis pecah tanah Loji Penapisan Petroleum Dangote East Africa di Pelabuhan Lamu / Foto AFP

LAMU, 30 September – Usahawan Nigeria, Aliko Dangote memulakan pembinaan kilang penapisan minyak bernilai AS$16 bilion di sini, yang dijangka mempunyai kapasiti memproses 700,000 tong minyak mentah sehari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis pecah tanah disempurnakan Presiden Kenya William Ruto; pemimpin serantau seperti Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed dan Presiden Uganda Yoweri Museveni hadir.
  • Aliko Dangote berkata projek itu menandakan lembaran baharu perindustrian Afrika dan dijangka siap dalam 30 hingga 40 bulan.
  • Kilang dijangka membantu mengurangkan kebergantungan Kenya dan negara Afrika Timur terhadap import bahan api bertapis.
  • Projek berdepan bantahan komuniti tempatan dan kumpulan alam sekitar; mahkamah membenarkan majlis pecah tanah tetapi tuntutan tanah masih berjalan.

Majlis pecah tanah projek itu disempurnakan bersama Presiden Kenya, William Ruto dan dihadiri pemimpin serantau termasuk Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed serta Presiden Uganda, Yoweri Museveni.

Lelaki terkaya di Afrika itu berkata, projek berkenaan, yang dijangka siap dalam tempoh 30 hingga 40 bulan, menandakan lembaran baharu dalam perjalanan perindustrian benua tersebut.

“Hari ini kita bukan sekadar memulakan pembinaan sebuah kilang penapisan, tetapi membuka lembaran baharu dalam perjalanan perindustrian Afrika,” katanya.

Kilang berkenaan dijangka membantu mengurangkan kebergantungan Kenya dan negara Afrika Timur terhadap import bahan api bertapis.

Presiden Kenya berkata, Lamu akan menjadi pusat penting pembangunan negara itu, sambil memberi jaminan isu berkaitan tanah dan alam sekitar akan ditangani mengikut undang-undang serta secara adil.

Projek itu bagaimanapun berdepan cabaran daripada komuniti tempatan berhubung hak tanah, manakala kumpulan alam sekitar turut membantah kerana kebimbangan terhadap kesan projek kepada alam sekitar.

Mahkamah Kenya membenarkan majlis pecah tanah diteruskan, namun kes berkaitan tuntutan tanah masih berjalan.

Lamu merupakan destinasi pelancongan terkenal dan menempatkan Lamu Old Town, tapak Warisan Dunia UNESCO yang mempunyai sejarah penempatan Swahili sejak abad ke-12. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.