102 maut, serangan dron di Sudan

Wartawan merakam kerosakan di stesen janakuasa Al-Markhiyat, utara Omdurman / Foto AFP

KHARTOUM, 28 Oktober – Angka kematian akibat serangan dron tentera di sebuah pasar di bandar Nyala, Sudan, meningkat kepada 102 orang dalam serangan terbaharu yang mengorbankan orang awam di kubu kuat kumpulan separa tentera di wilayah Darfur Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dron menyerang Pasar Tanqonj, lokasi tumpuan orang awam menurut kumpulan Emergency Lawyers.
  • Penduduk melapor kehilangan keluarga; seorang anak lelaki berusia 19 tahun terbunuh dan jenazah dikebumikan bersama puluhan lain.
  • Konflik antara tentera dan RSF sejak April 2023 menyaksikan peningkatan serangan dron; PBB lapor ratusan maut dan cedera.

Tentera Sudan, yang berperang dengan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) sejak April 2023, kerap melancarkan serangan ke atas Nyala. RSF menubuhkan pentadbiran sendiri di bandar itu yang menyaingi kerajaan di Khartoum yang disokong tentera dan diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Menurut kumpulan Emergency Lawyers, sebuah dron menyerang Pasar Tanqonj, lokasi tumpuan orang awam membeli barangan keperluan harian dan mencari rezeki.

Seorang penduduk, Hamdan Suleiman berkata, anak lelakinya berusia 19 tahun terkorban dalam serangan pada Isnin lalu.

“Anak saya terkorban dalam serangan di pasar pada Isnin. Kami mengebumikannya bersama lebih 70 jenazah di satu lokasi,” katanya kepada AFP menerusi mesej teks.

Seorang lagi penduduk, Zahra Hamidan, yang menjual makanan di pasar itu, berkata beberapa pekerja terbunuh berhampiran gerainya.

Konflik Sudan yang kini memasuki tahun keempat semakin menyaksikan penggunaan serangan dron, dengan kedua-dua pihak melancarkan serangan jarak jauh yang mengorbankan puluhan orang awam.

Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu, dalam tempoh tiga minggu pertama Oktober sahaja, serangan dron mengorbankan lebih 300 orang dan mencederakan ratusan yang lain. AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.